suria

Artis Moden Popular India MF Husain Meninggal Dunia Di London

NEW DELHI: Artis Kontemporari Paling Polular dari India, M.F. Husain, yang lari meninggalkan negaranya pada tahun 2006 ekoran ancaman bunuh daripada ektremis Hindu, telah meninggal dunia awal hari ini di London.

Husain berusia 95 tahun.

Beliau begitu popular sehingga digelar "Picasso of India", meninggal dunia di Hospital Royal Brompton London.

Menurut agensi berita The Press Trust of India, Allahyarham mengalami serangan jantung dan kegagalan paru-paru.

"India tidak mendapat keistimewaan untuk melihatnya buat kali yang terakhir sedangkan dia adalah anak kelahiran India yang paling popular dalam dunia lukisan," kata Jitish Kallat, salah seorang artis muda India.

Maqbool Fida Husain, yang bermastautin di Mumbai, telah dituduh oleh ekstremis Hindu sebagai menghina kepercayaan dan agama mereka kerana pernah melukis dewa dalam keadaan berbogel dalam beberapa siri lukisannya.

Ekoran tekanan dan ancaman daripada beberapa gerakan ekstremis Hindu yang menawarkan hadiah wang tunai sehinga berjuta dollar untuk kematiannya, Husain telah berhijrah ke Qatar pada 2006 dan empat tahun kemudian menerima kewarganegaraan Qatar.

Pada tahun 2008, hasil kerja seni Husain telah dijarah oleh anggota kumpulan Bajrang Dal, iaitu kumpulan berhaluan kanan Hindu. Namun pada tahun yang sama,salah satu daripada hasil kerja seninnya yang dipengaruhi oleh epik Hindu, telah terjual pada harga AS$1.6 juta dalam lelongan Christie.

Ketika dia menerima kewarganegaraan Qatar, Husain dipetik sebagai berkata, dia mengambil keputusan untuk membawa diri keluar dari India agar dia dapat berkarya dengan fikiran yang tenang dan aman.

Dan memandangkan India tidak membenarkan kewarganegaraan berganda, Husain berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa halangan untuk menyerahkan kewarganegaraan Indianya kerana beliau tidak mempunyai pilihan lain.

"Kewarganegaraan hanyalah sekeping kertas...di mana saya boleh memperolehi kasih sayang, saya akan menerimanya," ujar beliau.

Di sebalik kontroversi itu semua, Husain menyifatkan 99% rakyat India menyayanginya dan mereka masih menyayanginya ke hari ini.

"Saya adalah pelukis berketurunan India dan saya akan terus kekal begitu sehingga ke akhir hayat saya," katanya.

Kerajaan India baru-baru ini cuba memujuk Husain agar pulang ke tanah airnya semula sehinggakan Menteri Dalam Negeri,G.K. Pillai berjanji akan memberikan perlindungan keselamatan kepadanya tetapi permintaan itu ditolak oleh Husain.

Artikel Berikut

13 Maut Banjir Di Haiti

Artikel Lain