suria

Australia Gantung Eksport Ternakan Ke Indonesia

SYDNEY: Autralia pada Rabu menggantung semua eksport lembu hidup ke Indonesia selama enam bulan berikutan satu kontroversi berkaitan gambar-gambar penyembelihan lembu yang mereka anggap kejam dan tidak wajar dilakukan.

Menteri Pertanian Australia, Joe Ludwig berkata, dagangan yang berjumlah A$318 juta dolar Australia (RM1 bilion) setahun itu hanya akan disambung semula sehingga pegawai perlindungan ditempatkan di Indonesia untuk memastikan tahap "kesejahteraan" haiwan berkenaan.

"Kami perlu memastikan tahap keselamatan yang mencukupi untuk memastikan para pengeksport menyediakan rangkaian bekalan yang disahkan dan juga telus termasuklah tahap penyembelihan untuk semua ternakan yang dieksport dari Autralia," katanya.

"Ia akan mengambil masa agak lama untuk memastikan kita mempunyai jaminan rangkaian bekalan yang sepatutnya.

"Saya tidak mahu memberikan sesuatu tempoh masa, bagaimanapun penangguhan yang dijalankan adalah selama enam bulan dan adalah penting untuk industri terbabit menggunakan masa itu untuk menyediakan satu jaminan dalam rangkaian bekalan" katanya.

Pengharaman itu menyusul seminggu selepas Canberra menggantung eksport ternakan lembu ke 11 kawasan penyembelihan di Indonesia yang tersenarai dalam satu berita mengenai kekejaman terhadap haiwan ternakan seperti dilaporkan satu saluran televisyen Australia.

Rakaman itu menunjukkan para pekerja Indonesia menendang, memukul, mencucuk mata dan memutuskan ekor haiwan berkenaan untuk memaksa lembu-lembu itu masuk ke kandang penyembelihan lantas menyebabkan Canberra menerima tekanan daripada kumpulan-kumpulan pencinta dan pelindung haiwan.

Australia mengeksport sebanyak 65 peratus atau 500,000 haiwan ternakan hidupnya ke Indonesia setiap tahun.

Dalam pada itu, Jakarta berjanji akan menyiasat perkara tersebut namun menyatakan tiada undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang didakwa menyeksa haiwan berkenaan.

"Kami sedar bahawa kami perlu mempertingkatkan kebajikan haiwan di kawasan-kawasan penyembelihan," kata Ketua Jabatan Haiwan Ternakan, Kementerian Pertanian Indonesia, Prabowo Respatiyo Caturroso pada Rabu.

Beliau menambah, ekoran daripada keputusan terbaru Kerajaan Australia itu, Indonesia mungkin akan membeli daging mentah tersedia dari New Zealand untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan kerana New Zealand tidak mengeksport ternakan hidup ke luar negara untuk disembelih.

Bagaimanapun, kesan dari pengharaman sementara itu menimbulkan kebimbangan tentang apa yang bakal dihadapi oleh penternak di Australia yang mendakwa mereka akan mengalami kerugian jika hasil ternakan mereka tidak dapat dieksport.

Ludwig enggan memberitahu sama ada bayaran ganti rugi akan diberikan kepada para penternak yang tidak boleh lagi mengeksport ternakan mereka ke Indonesia. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain