suria

Ahli Kongres AS Mengaku Sebar Gambar Lucah Sendiri

Ahli Kongres AS, Anthony Weiner mengaku menyebarkan gambar lucahnya di internet.
Ahli Kongres AS, Anthony Weiner mengaku menyebarkan gambar lucahnya di internet.
Ahli Kongres AS, Anthony Weiner mengaku menyebarkan gambar lucahnya di internet.

NEW YORK: Seorang ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Anthony Weiner pada Isnin mengaku menghantar gambar-gambar yang memperlihatkan bahagian sulitnya kepada wanita-wanita muda melalui internet.

Weiner yang namanya sering disamakan dengan satu slanga menggambarkan kemaluan lelaki, membuat sidang akhbar untuk mengaku mempunyai beberapa hubungan terlarang yang dijalinkannya di internet.

Ahli Parti Demokrat berusia 46 tahun dari New York itu menerima tekanan selepas seorang wanita di Seattle menerima gambarnya yang agak lucah menerusi akaun laman sosial Twitter beliau.

Weiner selama seminggu menafikan dirinya menghantar gambar tersebut dan mendakwa akaun Twitter miliknya digodam.

"Individu dalam gambar tersebut adalah saya dan saya juga yang menghantarnya. Saya meminta maaf di atas segala kesukaran yang terjadi," katanya.

Weiner mengaku telah menghantar gambar-gambar beliau dalam internet dan menghantar teks lucah kepada lebih kurang enam orang wanita selama ini malah mengaku "berkawan" dengan mereka.

Namun beliau mendakwa tidak pernah berjumpa wanita-wanita itu dan tidak pernah mengadakan sebarang hubungan fizikal dengan mereka.

Weiner mengaku berbuat demikian kerana bahan bukti yang didapati sudah cukup menunjukkan lelaki dalam gambar tersebut adalah beliau dan bukan orang lain yang menyamar sebagai dirinya.

Dalam pengakuan yang dibuat, Weiner mengaku berkenalan dengan wanita-wanita itu melalui laman web sosial Facebook dan ia tidak melanggari undang-undang.

Bagaimanapun apabila gambar lucahnya didedahkan, beliau panik dan menipu dengan mengatakan Twitternya digodam.

"Saya cuba melindungi isteri dan diri sendiri dari perkara yang memalukan. Ia merupakan satu kesalahan dan saya begitu menyesalinya," kata beliau.

Weiner yang dikatakan berpotensi menjadi Datuk Bandar New York pada 2013 bagaimanapun mengatakan tidak berniat untuk meletak jawatan di dalam Dewan Perwakilan AS.

Bagaimanapun, ahli Parti Demokrat, Nancy Pelosi mengatakan masalah Weiner belum selesai dan meminta satu penyiasatan etika diadakan secara terbuka.

BigGovernment.com, satu laman web konservatif menyiarkan gambar-gambar baru yang secara jelas menunjukkan wajah Weiner dengan sebahagian badannya yang terdedah.

ABC News pada Isnin mengadakan satu temu ramah bersama Meagan Broussard,ibu tunggal berusia 26 tahun dari Texas yang mendakwa dia mempunyai hubungan lucah secara maya bersama Weiner sejak April.

Menurut Broussard lagi, mereka saling bertukar-tukar gambar dan perbualan lucah malah Weiner juga menghantar gambar wajah beliau dengan berpakaian. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain