suria

Dua Serangan Bom Di Pakistan: 24 Terkorban

ISLAMABAD: Seorang pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah kedai roti dekat barat laut Pakistan dan mengorbankan 18 orang manakala satu serangan bom yang berasingan menyebabkan enam orang lagi terbunuh.

Dua serangan itu merupakan yang terbaru dalam beberapa siri serangan bom yang berlaku di Pakistan sejak pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Menurut pihak polis, pengebom berani mati itu menyerang kedai roti tersebut yang bertempat di kediaman anggota tentera di pekan Nowshera.

Dua orang anggota tentera merupakan antara enam mangsa yang terbunuh dalam serangan itu.

Penyerang ialah seorang lelaki muda yang membawa lapan kilogram barang letupan yang apabila meletup menyebabkan beberapa silinder gas dalam kedai roti itu meletup.

Kemudian berlakunya kebakaran yang menyebabkan seramai 40 orang cedera parah, demikian menurut pegawai polis, Fazal Maula.

Terdahulu, sebutir bom lagi meletup di satu perhentian bas di Matani mengorbankan enam orang dan mencederakan beberapa yang lain, kata pihak rasmi.

Bom itu dipasang di perhentian bas tersebut - satu cara serangan yang dilakukan selain serangan meletupkan diri.

Tiada pihak mengaku bertanggung jawab ke atas dua serangan tersebut namun kumpulan Taliban Pakistan mengaku bertanggung jawab ke atas beberapa siri serangan sebelum ini dengan alasan membalas dendam terhadap pembunuhan Osama dalam satu operasi tentera elit Amerika Syarikat pada 2 Mei lalu. -AP

Artikel Lain