suria

Perbincangan Isu Dua Hala Dan Serantau Antara Singapura Dan Malaysia Membawa Hasil Yang Baik

SINGAPURA: Perbincangan mengenai isu dua hala dan serantau antara Singapura dan Malaysia telah membawa hasil yang baik, kata Pemangku Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean.

"Perbincangan mengenai isu dua hala dan juga isu serantau telah berhasil dengan baik dan kami menanti-nanti untuk menjadikannya lebih berjaya," katanya kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Asia-Dialog Shangri-La ke-10 di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat lepas.

Najib berada di sini untuk menyampaikan ucaptama pada pembukaan persidangan itu Jumaat lepas yang berakhir hari ini atas jemputan Institut Antarabangsa bagi Kajian Strategik (IISS) Singapura.

Mengambil kesempatan atas kehadirannya di sini, Najib juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Robert Gates dan Teo.

Sebelum itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan berkata perbincangan antara Najib dan Teo lebih bersifat serantau daripada semata-mata mengenai dua hala.

Sambil menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia-Singapura pada masa ini sebagai amat baik, Md Hussin berkata kedua-dua negara telah mencatat banyak kemajuan dalam usaha menyelesaikan isu legasi yang belum selesai.

Dialog Shangri-La, yang dikenali sebagai forum tahunan Sidang Kemuncak Keselamatan Asia, dianjurkan oleh IISS sejak 2002.

Persidangan itu memberi peluang kepada kepada wakil dari 28 negara anggota dari rantau Asia Pasifik dan Eropah untuk berkongsi maklumat, bertukar-tukar pandangan dan menjalin kerjasama dalam soal keselamatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain