suria

IISS: Najib Dipilih Sampai Ucaptama Dialog Shangri-La Kerana Penuhi Semua Kriteria

SINGAPURA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak memenuhi semua kriteria apabila beliau dipilih untuk menjadi pemimpin pertama berucap pada Dialog Shangri-La IISS ke-10 di Singapura, kata Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif IISS, Dr John Chipman.

"Kami tahu ketika itu bahawa sidang kemuncak kali ini akan menjadi yang amat istimewa. Apabila IISS mula menimbangkan siapa yang patut menjadi tokoh pertama berucap pada Dialog Shangri-La ke-10, dan selepas merundingi negara tuan rumah, Singapura, terdapat beberapa kriteria yang kami rasa perlu dipenuhi," katanya pada pembukaan sidang kemuncak itu di sini malam semalam, di mana Najib menyampaikan ucaptama.

Pertamanya, Chipman berkata tokoh itu berada dalam kedudukan baik untuk menyumbang secara intelektual terhadap perbincangan mereka dengan mencorakkan nadanya pada malam pembukaan dan memberikan perspektif sebenar mengenai cabaran-cabaran keselamatan.

Beliau berkata tokoh itu juga perlu adalah seseorang yang amat menghargai ciri-ciri Dialog Shangri-La, sebaiknya mempunyai pengalaman secara langsung dengan sidang kemuncak itu sebelum ini.

Ketiganya, tokoh itu perlu secara peribadi memperjuangkan diplomasi pertahanan dan kebaikan yang bakal diperoleh menerusi dialog terbuka itu serta sedia berkongsi maklumat.

"Akhirnya, dan yang paling penting, tokoh itu adalah pemimpin kerajaan di rantau ini.

"Akhirnya, hanya satu nama sesuai bagi Dialog Shangri-La ke-10 ini, yang memenuhi semua kriteria ini – dan nama yang sungguh mengagumkan -- (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Perdana Menteri Malaysia ini telah menghadiri Dialog Shangri-La tidak kurang daripada enam kali sebagai Menteri Pertahanan; sentiasa menggunakan platform ini untuk mengemukakan idea bagi dasar baru, merupakan hos pertama Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean dan telah, sebagaimana kita semua tahu, mempunyai perancangan strategik," kata Chipman.

Mengenai Dialog Shangri-La, beliau berkata IISS melancarkan inisiatif berkenaan pada diplomasi pertahanan transnasional pada 2002, dengan objektif menyediakan forum unik bagi mewujudkan diplomasi pertahanan yang mantap di rantau Asia Pasifik.

Sidang kemuncak selama tiga hari bermula Jumaat menghimpunkan perwakilan dari 28 negara dari rantau Asia-Pasifik dan Eropah.

Antara yang hadir ialah Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Robert Gates dan Menteri Pertahanan China Jeneral Liang Guanglie yang mengetuai delegasi ke dialog itu buat julung kalinya.

Ia membuka peluang untuk perkongsian maklumat dan bertukar-tukar pandangan mengenai pembinaan keyakinan dan kerjasama keselamatan praktikal sebagai respons kepada pelbagai cabaran baru dan kontemporari, telah menarik penyertaan 30 delegasi pertahanan, jumlah paling besar setakat ini.

Chipman berkata dialog itu bukan sahaja merumuskan pernyataan dasar tetapi juga inisiatif dasar, bukan sekadar perbincangan perundingan tetapi perancangan bagi meningkatkan kerjasama.

"Para perwakilan dan menteri yang menghadiri Dialog Shangri-La tidak pernah mengundang konfrontasi tetapi pada masa yang sama tidak mengetepikan kontroversi dan hasilnya isu paling sensitif dalam hal ehwal keselamatan dan pertahanan dibahaskan secara telus.

"Dan oleh kerana ia bukan sahaja melibatkan kerajaan dan pegawai, tetapi juga pakar strategi, pemikir dan pengulas terkemuka, dialog memberikan respons sewajarnya kepada keperluan mendesak bagi penglibatan sepenuhnya sektor swasta dan awam dengan mengambil kira kepentingan dasar awam," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain