suria

Agensi Risikan Pakistan Nafi Terlibat Bunuh Wartawan

Wartawan-wartawan Pakistan mengadakan tunjuk perasaan membantah pembunuhan wartawan Saleem Shahzad.
Wartawan-wartawan Pakistan mengadakan tunjuk perasaan membantah pembunuhan wartawan Saleem Shahzad.
Wartawan-wartawan Pakistan mengadakan tunjuk perasaan membantah pembunuhan wartawan Saleem Shahzad.

ISLAMABAD: Agensi Perisikan Pakistan (ISI) menafikan dakwaan mengatakan badan itu terlibat dalam pembunuhan seorang wartawan Saleem Shahzad, yang menulis tentang hubungan antara pegawai-pegawai tentera laut yang bersekongkol dengan kumpulan Al-Qaeda.

Shahzad yang bekerja untuk agensi berita di Itali dan Hong Kong dilaporkan hilang dalam perjalanan ke sebuah rancangan bual bicara televisyen dan kemudian mayatnya dijumpai di sini pada Selasa dengan kesan-kesan seperti didera.

Seorang penyelidik kanan pertubuhan hak asasi manusia (Human Right Watch), Ali Dayan Hasan mengatakan Shahzad ada mengadu menerima ugutan daripada ISI dan menyatakan "ISI pernah terbabit dalam kejadian sedemikian sebelum ini."

"Sesetengah media menggunakan kejadian ini untuk menghentam dan memfitnah ISI," pegawai perisikan ISI memberitahu media.

"Tuduhan rambang terhadap agensi keselamatan negara yang dikatakan terlibat dalam pembunuhan Shahzad adalah tidak berasas sama sekali."

"Ketiadaan bukti dan tuduhan dilakukan ketika siasatan masih belum selesai menunjukan pihak media tidak profesional di dalam kes ini," tambah pegawai itu.

Pegawai rasmi ISI itu juga menyatakan kejadian tragik yang menimpa Shahzad itu merupakan satu perkara yang menyedihkan namun tidak harus digunakan untuk menyerang dan memfitnah agensi keselamatan tersebut.

Shahzad dilaporkan hilang dua hari selepas tulisannya mengenai satu laporan penyiasatan disiarkan di Asia Times Online.

Artikel tersebut mengatakan serangan Al-Qaeda terhadap unit udara tentera laut beberapa minggu lalu dilakukan untuk membalas dendam di atas penahanan pegawai-pegawai tentera laut yang disyaki bersekongkol dengan kumpulan militan itu.

Agensi risikan itu mengakui pernah berjumpa Shahzad pada Oktober lalu mengenai sebuah artikel tanpa sebarang niat jahat yang lain.

Pada tahun 2006, Shahzad diculik pihak Taliban di selatan Afghanistan kerana disyaki sebagai pengintip namun dia dilepaskan tujuh hari kemudian.

Kerajaan telah mengarahkan siasatan dijalankan terhadap kes penculikan dan pembunuhan Shahzad dan menegaskan pihak yang bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun pihak wartawan yang berang mengatakan siasatan-siasatan terdahulu terhadap pembunuhan wartawan langsung tidak menampakkan sebarang hasil. -AFP

Artikel Lain