suria

Ketua Polis, Tentera Jerman Terbunuh Serangan Bom Di Afganistan

KUNDUZ (Afghanistan): Seorang ketua polis dan tiga anggota tentera Jerman adalah antara tujuh orang yang terkorban dalam serangan bom berani mati di pejabat gabenor Takhar, pada Sabtu, demikian menurut sumber rasmi.

"Tujuh orang telah terkorban dan sembilan lagi cedera," beritahu jurucakap gabenor wilayah Takhar.

"Tiga tentera Jerman dan empat warga Afghanistan termasuk seorang jeneral, Mohammed Daoud Daoud dan ketua polis wilayah Takhar telah terbunuh," katanya.

Puak Taliban menghubungi pemberita dan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan.

Qutbuddin Kamal yang merupakan pembantu kepada gabenor wilayah, Abdul Jabar Taqwa mengesahkan Jeneral Daoud yang merupakan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dan ketua polis wilayah tersebut telah terbunuh manakala gabenor terbabit mengalami kecederaan.

"Pengebom berani mati itu meletopkan diri apabila sebuah mesyuarat mengenai keselamatan yang diadakan di sebuah kompleks dekat pejabat gabenor berakhir," tambahnya.

Seorang jurucakap Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang diketuai NATO mengesahkan anggota tentera badan itu menjadi mangsa namun tidak mendedahkan sama ada mereka terbunuh ataupun tercedera. -AFP

Artikel Lain