suria

Filipina Bantah China Dirikan Pelantar Minyak Di Perairanya

MANILA: Kerajaan Filipina pada Rabu secara rasmi menentang aktiviti China di perairan Laut China Selatan dan rancangan China untuk membina sebuah pelantar minyak di perairan itu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negara, pegawai kedutaan China di Manila dipanggil pada Selasa berhubung kebimbangan Filipina mengenai aktiviti tentera China dekat laut bahagian barat Filipina.

Manila meminta kedutaan China memberi penjelasan ke atas tinjauan yang dibuat kapal peninjau tentera laut China dan kapal-kapal laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), demikian menurut Kementerian Luar Negara.

Kementerian itu dikatakan bertindak berikutan maklumat yang diperoleh daripada tentera Filipina yang melaporkan terdapat kapal milik China yang memunggah muatan barang pembinaan, mendirikan beberapa tiang dan meletakkan sebuah boya di kawasan itu.

Kementerian itu juga menyatakan kebimbangannya kepada pegawai kedutaan China berhubung laporan-laporan media di China yang memperkatakan tentang rancangan Beijing untuk mendirikan pelantar minyak besar di Laut China Selatan pada bulan depan

"Dalam mesyuarat tersebut, Kementerian Luar Negara menyoal kedutaan China tentang lokasi tepat pelantar minyak yang bakal dibina itu dan menegaskan bahawa ia tidak patut didirikan di kawasan atau perairan milik Filipina," tambahnya.

Lokasi di mana boya diletakkan adalah sememangnya berada di kawasan Zon Ekonomi Ekslusif seluas 200 batu nautika milik Filipina, tambah kenyataan itu lagi.

Menurut Setiausaha Kementerian Luar Negara, Albert del Rosario, sebarang pembinaan yang dilakukan di kawasan terbabit adalah melanggar sebuah perjanjian yang ditandatangani China dengan negara-negara ASEAN pada tahun 2002. -AFP

Artikel Lain