suria

Korea Selatan Perketat Hukuman Mengatur Perlawanan

SEOUL: Korea Selatan pada Selasa mengatakan akan menaikkan denda terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti mengatur keputusan perlawanan semua jenis sukan.

Kenyataan itu menyusul selepas satu skandal pertaruhan haram melanda liga bola sepak utama negara berkenaan.

"Kami menganggap perkara ini sebagai satu krisis yang serius," kata Timbalan Menteri Sukan, Park Sun-Kyoo kepada pemberita dan berjanji akan menggubal satu rang undang-undang dalam bulan ini yang mengawal liga-liga sukan.

Menurut Sun-Kyoo, hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan berjudi secara haram dalam sukan akan dinaikkan kepada penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak 70 juta won (RM210,000) berbanding tujuh tahun penjara atau 15 juta won (RM42,000) sebelum ini.

Perlawanan kelab-kelab yang terlibat dalam keputusan pertandingan yang diaturkan pula akan digantung atau dikeluarkan dari senarai Sports Toto, satu-satunya agensi loteri sukan berlesen negara ini.

Pemain yang didakwa atau didapati bersalah akan diharamkan beraksi seumur hidup dan kelab yang diwakili mereka pula akan kehilangan mata dalam liga.

Dalam kes keputusan perlawanan yang diaturkan, pendakwa raya berjaya menahan lima pemain dan dua pengatur perlawanan namun pemain kelima yang ditahan bertindak membunuh diri.

Seramai 1,100 pemain bola sepak, jurulatih, pengadil dan pegawai pada minggu lalu menandatangani surat aku janji untuk membasmi kegiatan mengatur keputusan perlawanan dan pelbagai aktiviti-aktiviti haram yang lain.

Khabar angin tentang keputusan perlawanan yang diaturkan timbul dalam liga bola sepak pro negara ini.

Akhbar-akhbar di sini melaporkan kelab-kelab bola sepak yang cenderung untuk menyembunyikan skandal sedemikian membuang secara senyap pemain-pemain yang dikaitkan dengan aktiviti mengatur keputusan perlawanan sejak tahun lepas.

Menurut laporan tersebut, pemain-pemain bola sepak di negara ini dipengaruhi oleh perkembangan laman web perjudian haram beroperasi di Korea Selatan dan China yang menjanjikan ganjaran lumayan. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain