suria

AS Serang Militan Di Pakistan: 7 Terbunuh

PESHAWAR, Pakistan: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan peluru berpandu ke satu kawasan puak militan berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan pada Isnin dan menyebabkan tujuh anggota pemberontak terbunuh, demikian menurut jurucakap pegawai keselamatan.

Kejadian yang berlaku pada awal pagi dekat Shalam Raghzai, 10 kilometer di barat laut Wana yang merupakan pekan utama di Selatan Waziristan.

Serangan itu terjadi tiga hari selepas satu serangan oleh AS yang dikatakan menumpaskan komander kanan Al-Qaeda, Ilyas Kashmiri, salah seorang pemimpin yang amat berpengaruh dalam kumpulan itu.

"Satu serangan dilakukan AS menggunakan dua peluru berpandu telah membunuh tujuh orang militan," beritahu seorang pegawai keselamatan kawasan itu.

Seorang lagi pegawai keselamatan mengesahkan kejadian dan jumlah kematian tersebut namun memberitahu identiti anggota-anggota yang terbunuh tidak dapat dikenalpasti.

Serangan pada Isnin itu merupakan serangan yang ke sepuluh dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran sempadan Afghanistan sejak tentera komando AS membunuh Osama bin Laden dalam satu operasi dekat bandar Abbottabad pada 2 Mei lalu.

Parlimen Pakistan telah bertegas supaya AS memberhentikan sebarang serangan dan tidak mengulangi operasi seperti serangan yang membunuh Osama walaupun Presiden AS, Barack Obama mengatakan beliau berhak bertindak begitu semula.

Serangan-serangan hendap oleh tentera asing dikecam rakyat Pakistan yang menentang hubungan Islamabad-Washington dan menyemarakkan lagi perasaan anti AS yang semakin berkembang selepas pembunuhan Osama.

AS tidak mengesahkan penglibatannya dalam serangan terbaru terhadap puak militan itu tetapi hanya tenteranya dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) merupakan pihak keselamatan yang dikatakan beroperasi di kawasan itu.

Bagaimanapun, AS mengatakan serangan-serangan peluru berpandu yang dilakukannya berjaya melemahkan kepimpinan Al-Qaeda dan membunuh bekas ketua puak Taliban Pakistan, Baitullah Mehsud. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain