suria

Bekas Penjenayah Perang Di Chechnya Mati Ditembak

MOSCOW: Seorang lelaki bersenjata telah menembak mati seorang bekas pegawai tentera Rusia berpangkat kolonel yang dipercayai perbuatan membalas dendam di atas tindakannya mencekik gadis Chechen berusia 18 tahun ketika perang di Chechnya suatu ketika dahulu.

Kolonel Yuri Budanov, ditembak di pinggir bandar ini pada waktu tengah hari ketika beliau sedang berjalan keluar dari sebuah bangunan pejabat.

Insiden beliau mencekik seorang remaja perempuan Chechen, Elza Kungayeva pada tahun 2000 telah menjadi simbol kekejaman tentera Rusia ke atas bangsa Chechnya yang menuntut kemerdekaan daripada Rusia.

Saksi memberitahu, penembak itu melepaskan empat das tembakan ke arah kepada Budanov sebelum cabut lari menaiki kereta yang sedang menantinya.

Kereta yang digunakan oleh pembunuh itu kemudiannya ditemui terbakar.

Para penyiasat percaya, pembunuhan itu adalah satu pembunuhan yang dirancang dengan teliti dan Budanov telah dijejaki selama beberapa ketika oleh pembunuhnya.

Budanov telah ditahan pada tahun 2000 dan tiga tahun kemudian selepas melalui perbicaraan yang panjang telah dihukum penjara kerana jenayah perang yang dilakukannya di Chechnya.

Budanov telah dibebaskan dari hukuman penjara pada Januari 2009 selepas menjalani separuh daripada tempoh hukumannya membunuh Kungayeva. Dia dihukum penjara 10 tahun.

Pembebasannya itu telah mencetuskan kemarahan di kalangan pengerak hak asasi kemanusiaan Rusia.

Selepas beberapa hari dia dibebaskan, seorang lelaki yang memakai topeng telah menembak mati peguam hak asasi kemanusiaan, Stanislav Markelov sebaik sahaja peguam itu selepas mengadakan sidang akhbar kerana memprotes tindakan kerajaan membebaskan Budanov.

Malah seorang wartawan wanita, Anastasia Baburova, yang bekerja untuk akhbar Novaya Gazeta, turut dibunuh bersama-sama Markelov.

Kejadian itu telah mengejutkan masyarakat dunia.

Bagaimanapun, bulan lepas, sebuah mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat ke atas Nikita Tikhonov, 30, setelah didapati bersalah membunuh Markelov dan Baburova.

Hukuman itu disambut dengan sorakan oleh pejuang hak asasi kemanusiaan di negara ini.

Isteri Nikita, Yevgenia Khasis, 25, yang turut bersubahat telah dikenakan hukuman 18 tahun penjara.

Artikel Sebelum

Turki Jamin Bantu Gaddafi

Artikel Lain