suria

Wartawan Jenayah Mati Ditembak

NEW DELHI: Seorang wartawan berpangkalan di Mumbai yang membuat liputan mengenai jenayah kongsi gelap mati, ditembak empat penyerang tidak dikenali pada Sabtu.

Wartawan kanan, Jyotirmoy Dey, yang bertugas dengan akhbar Mid-Day, dibunuh di luar kediamannya di Powai, barat laut Mumbai, kira-kira 3 petang, lapor media tempatan.

Suspek yang menaiki dua motosikal melepaskan lima das tembakan, membunuh mangsa berusia 56 tahun itu di tempat kejadian.

"Kami di bilik berita semua terkejut," kata Editor Eksekutif akhbar itu Sachin Kalbaug kepada stesen televisyen tempatan.

Dey, editor yang bertanggungjawab untuk tugasan khas, membuat liputan mengenai jenayah kongsi gelap sejak beberapa tahun lepas, kata laporan tersebut.

Dey merupakan wartawan kedua terbunuh di Asia Selatan dalam tempoh dua minggu.

Pada 29 Mei lepas, wartawan jenayah Pakistan Syed Saleem Shahzad dibunuh pihak tidak dikenali di Islamabad selepas beliau menulis secara terperinci mengenai kumpulan pengganas.

Saleem, 40, merupakan Ketua Biro Asia Times Online. BERNAMA

Artikel Lain