suria

Tujuh Terbunuh Dalam Dua Serangan Di Iraq

BAQUBA: Puak pemberontak meletupkan dua buah kereta dan melancarkan dua serangan bom berani mati yang mengorbankan tujuh orang di bangunan pejabat kerajaan di sini, Selasa.

Kejadian tersebut menyerupai satu serangan yang dilakukan di Iraq pada Mac lalu.

Berpuluh lelaki bersenjata terlibat dengan kekacauan di daerah Diayala dan membalas tembakan pasukan keselamatan Iraq.

Pihak berkuasa bagaimanapun memberi amaran bahawa jumlah kematian iaitu seramai tujuh orang dan 17 orang tercedera setakat ini mungkin akan bertambah.

Serangan tersebut meningkatkan kebimbangan tentang keupayaan pasukan keselamatan dengan hanya beberapa bulan sahaja lagi sebelum tentera Amerika Syarikat (AS) perlu meninggalkan negara ini di bawah syarat perjanjian keselamatan dua hala yang dimeterai.

Seorang pegawai di Pusat Kawalan Keselamatan Diyala mengatakan puak pemberontak pada mulanya meletupkan dua buah kereta berdekatan dinding banggunan itu pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan dan letupan membuka laluan kepada pemberontak yang bersenjata menyerang premis tersebut.

Dua pengebom berani mati muncul selepas itu dan meletupkan diri mereka di dalam banggunan pejabat.

Seorang pegawai keselamatan Diyala dan seorang wartawan AFP yang berada di tempat kejadian melaporkan berlakunya pertempuran senjata api antara puak pemberontak dan pasukan keselamatan Iraq.

Kejadian itu berlaku ketika Majlis Perbandaran Wilayah Diyala mengadakan mesyuarat mingguan dan ia sama seperti saru serangan yang dilakukan Al-Qaeda di kawasan pejabat kerajaan di Tikrit pada 29 Mac lalu yang menyebabkan 58 orang terkorban. -AFP

Artikel Lain