suria

50 Bangunan Ranap Bila Gempa Bumi Sekali lagi Landa Christchurch

CHRISTCHURCH: Beberapa siri gempa bumi dengan yang paling besar bermagnitut 6.0 skala richter telah melanda bandar ini untuk kali yang kedua selepas Februari lalu dan kali ini 50 buah bangunan dilaporkan ranap menyembah bumi.

Pihak berkuasa mengesahkan bekalan air serta elektrik turut terputus pada sebahagian besar bandar ini.

Pada kejadian Februari lalu, bandar ini telah dilanda gempa dengan kekuatan 6.3 skala richter dengan 181 orang disahkan terbunuh.

Datuk Bandar, Bob Parker mengakui bahawa bandar ini sekali lagi berada dalam situasi darurat.

Christchurch adalah bandar kedua terbesar di New Zealand.

Pengarah Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan, David Coetzee bagaimanapun menegaskan bahawa setakat ini masih belum ada laporan yang dibuat mengenai kematian akibat bencana ini.

Namun begitu 10 orang disahkan tercedera.

Kali ini kawasan yang paling teruk mengalami kerosakan ialah pusat bandar yang dikenali sebagai zon merah yang sebelum ini diletakkan sebagai kawasan dilarang masuk oleh pihak berkuasa bandar.

Pengurus Pihak Berkuasa Pemulihan Gempa Bumi Christchurch, Warwick Isaacs berkata, ketika kejadian dia masih berada di kawasan zon merah dan menyaksikan sekurang-kurangnya 50 buah bangunan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tidak layak diduduki telah ranap sama sekali.

Di pinggir bandar ini, bangunan bersejarah Timeball Station yang berusia 134 tahun dan berfungsi memberi indikasi waktu kepada kapal-kapal yang hendak berlabuh di pelabuhan Lyttelton turut musnah.

Sebanyak 54,000 kediaman telah disahkan terputus bekalan elektrik dan begitu juga dengan bekalan air.

Jabatan Geologikal Amerika Syarikat mencatatkan gempa bumi sedalam sembilan kilometer dan pusat gempa dicatatkan berlaku 14 kilometer dari pusat bandar ini.

Ia berlaku pada tepat jam 2.20 petang.

Keseluruhannya sebanyak 20 gempa susulan dicatatkan berlaku di seluruh bandar ini dengan yang paling besar berukuran 5.2 skala richter.

Semua sekolah diarahkan tutup sehingga satu notis baru dikeluarkan.

Perdana Menteri, John Key memberi jaminan bahawa kerajaan pusat berazam untuk membina semula mana-mana bahagian yang masih selamat untuk dibangunkan dengan jumlah kos yang kini telah dibelanjakan telah pun mencecah NZ$15 bilion (AS$12.3 bilion) sejak Februari lalu.

Yang paling menakjubkan ialah gempa bumi ini berlaku hanya beberapa jam selepas pembukaan satu inkues untuk mengenalpasti mengapakah sebuah blok pejabat runtuh dalam kejadian gempa Februari lalu mengorbankan lebih 100 orang mangsa termasuk 65 pelajar asing. Bangunan tersebut dikatakan sepatutnya selamat gempa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain