suria

Adik Perempuan Thaksin Dinamakan Sebagai Calon PM Jika Menang P/Raya Umum

BANGKOK: Parti pembangkang utama Thailand - Parti Pheu Thai - pada Isnin telah menamakan adik perempuan kepada bekas perdana menteri yang diguling Thaksin Shinawatra sebagai calon untuk jawatan itu seandainya parti mereka berjaya meraih cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum yang akan diadakan 3 Julai depan.

Yingluck Shinawatra, 43, boleh dikatakan tidak memiliki pengalaman berpolitik sama sekali dan kini dilihat oleh para pemerhati sebagai calon sandaran untuk Thaksin kembali seandainya parti berkenaan menang besar.

Bagaimanapun, seandainya berjaya, beliau bakal mencatatkan sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Thailand.

Parti yang memerintah sekarang, Parti Demokrat Thai masih belum menamakan calon untuk jawatan perdana menteri tetapi ramai yang menyifatkan perdana menteri sekarang Abhisit Vejjajiva akan terus diberi mandat oleh partinya untuk memimpin.

Sejak Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh pihak tentera ketika dia berada di luar negara pada tahun 2006, negara itu berada dalam suasana politik yang tidak pernah tenteram.

Yingluck pula menghabiskan sebahagian besar daripada kariernya berkhidmat dalam syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan keluarga mereka.

Thaksin yang merupakan salah seorang manusia terkaya Thailand membuat kekayaannya dalam industri telekomunikasi.

Bagaimanapun Thaksin dilihat mempunyai sejarah mempergunakan ahli keluarga sebagai 'dalang' dalam politik.

Ketika masih menyandang jawatan perdana menteri pada tahun 2003, beliau telah melantik sepupunya Chaisit Shinawatra sebagai salah seorang komander dalam sayap utama angkatan tentera.

Kemudian pada tahun 2007 pula, beliau telah menggunakan pengaruhnya untuk memastikan adik iparnya Somchai Wongsawat dilantik sebagai perdana menteri.

Malangnya Somchai tidak sempat berpaut lama pada kuasa kerana dsingkirkan dari jawatan itu melalui satu perintah mahkamah yang kemudiannya membolehkan Abhisit mengambil alih teraju pemerintahan negara.

Tahun lalu, para penyokong setia Thaksin yang dikenali sebagai kumpulan baju merah telah melumpuhkan ibu negara itu dan lapangan terbang antarabangsanya dengan mengadakan demo selama dua bulan tanpa henti.

Sekurang-kurangnya 91 orang dilaporkan terbunuh dan 1,400 lagi cedera dalam pergaduhan dengan pasukan keselamatan.

Mereka menuntut agar Abhisit dengan segera membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baru. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain