suria

Mahmoud Abbas Tidak Akan Bertanding Pada Pemilihan Presiden Akan Datang

GAZA: Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengumumkan pada Selasa bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan presiden akan datang yang dijangka diadakan selepas setahun dua kumpulan bertelagah Fatah dan Hamas menandatangani perjanjian damai di Kaherah, Mesir 4 Mei lepas.

Bercakap pada mesyuarat majlis revolusi Fatah di Tebing Barat, Abbas berkata pergerakannya serius untuk menjayakan perjanjian damai itu.

"Kami serius untuk mencapai perdamaian dan kami mahukannya," kata Abbas.

Abbas juga sedar bahawa perpaduan rakyat Palestin amat penting untuk proses perdamaian dengan Israel.

Beliau melihat kedudukan rakyat Palestin akan menjadi lebih kuat di persidangan dan perjanjian antarabangsa.

"Ketika kami mengambil bahagian dalam persidangan Annapolis, Amerika dan Israel memberitahu kami bahawa tiada perjanjian akan dilaksana tanpa perpaduan," katanya.

Ketua biro politik Hamas Khaled Mishael pula berkata mereka bersedia memberi tempoh setahun kepada Israel untuk mengkaji niat mereka mewujudkan negara Palestin.

"Matlamat kami ialah mewujudkan negara Palestin di 1967 sempadan dan kami banyak kali mengkaji hasrat Israel sejak perjanjian Oslo dan Madrid, tetapi demi perdamaian rakyat Palestin dan revolusi di Mesir kami bersedia memberi setahun lagi untuk mereka," kata Mishael kepada pemberita di Mesir.

Sementara itu, pemimpin perhimpunan tokoh bebas rakyat Palestin di Tebing Barat Khaled Asaf berkata dua kumpulan bertelagah itu, Fatah dan Hamas, bersetuju membebaskan tahanan mereka secara serentak dalam tempoh beberapa hari lagi. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain