suria

Warga Fukushima Dibelenggu Diskriminasi

FUKUSHIMA: Penduduk bandar ini dibelenggu stigma dan diksriminasi masyarakat yang menyamakan mereka dengan situasi kecelakaan di Chernobyl, Ukrain.

Penduduk di bandar ini mendakwa mereka mendapat kesan psikologi berikutan kesan radioaktif dari letupan loji nuklear Fukushima Daiichi yang disebabkan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac lalu sehingga digelar `Chernobyl Jepun'.

Letupan nuklear itu memusnahkan sektor pertanian, perikanan dan pelancongan di kawasan itu termasuklah kawasan yang dikategorikan sebagai selamat oleh pihak berkuasa.

Apa yang menyedihkan lagi penduduk Fukushima yang meninggalkan bandar tersebut sejak kejadian itu telah dinafikan hak mereka untuk tinggal di hotel dan anak-anak mereka pula dibuli.

"Saya pernah mendengar bahawa pelajar-pekajar dari Fukushima dibuli apabila mereka pergi ke kawasan luar. Perkara ini menyukarkan saya untuk keluar."

"Sebagai seorang gadis, saya bimbang tentang khabar angin yang mengatakan wanita dari Fukushima tidak harus dijadikan isteri," kata Yuma Ito,23 dari selatan Fukushima.

Beberapa pusat pemindahan di kawasan lain di Jepun pula meminta sijil "bebas radiasi" daripada mereka yang datang dari kawasan yang berhampiran loji nuklear tersebut.

Jurucakap kerajaan, Yukio Edano telah menyelar diskriminasi yang berlaku itu dan mengatakan radiasi tidak boleh menjangkiti orang lain seperti penyakit berjangkit.

Keadaan tersebut semakin teruk apabila ekonomi petani di Fukushima terjejas teruk kerana penduduk Jepun tidak mahu membeli hasil pertanian dari bandar itu.

Kerajaan Jepun telah melarang penggunaan hasil tani dari Fukushima dan kawasan berhampiran tetapi kemudian mengenakan larangan itu kepada beberapa jenis makanan dari beberapa kawasan sahaja.

Magoichi Shigihara, 66, yang merupakan seorang petani mengatakan bahawa dia dan petani yang lain terjejas teruk di atas larangan yang dikeluarkan itu walaupun hasil taninya tidak tergolong di dalam jenis makanan yang disenaraikan sebagai berbahaya.

"Kemusnahan ini menyebabkan kami tidak pasti sama ada aktiviti pertanian boleh diteruskan ataupun tidak pada masa hadapan. nasib kami juga masih kabur." katanya.

Datuk Bandar Nihomatsu, bandar yang berada 55 kilometer dari loji nuklear Fukushima mengatakan beliau akan meminta pampasan daripada kerajaan Jepun dan pengendali loji, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) di atas imej dan ekonomi wilayah itu yang terjejas teruk.

Akhbar Asahi Shimbun melaporkan kerajaan Jepun menjangka jumlah pampasan kejadian malapetaka tersebut sekurang-kurangya USD49 bilion namun jumlah itu tidak termasuk di dalam kiraan pampasan untuk kerugian tersembunyi dan kerugian untuk jangka masa panjang.

Perdana Menteri, Naoto Kan telah menyertai kempen menentang diskriminasi yang berlaku itu.

"Saya mahu masyarakat membeli makanan yang selamat," kata beliau selepas melawat satu kedai di Tokyo yang menjual barang makanan dari Fukushima.

Pada lawatan itu, Kan mencuba makanan Jepun seperti sup miso dan sake.

"Pampasan perlu dibuat dengan berhati-hati termasuklah untuk kemusnahan yang wujud dari khabar angin yang tidak baik ini." beritahu beliau kepada pemberita.- AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain