suria

Eksport Jepun Menjunam Buat Pertama Kali Dalam Tempoh 16 bulan

LONDON: Eksport Jepun buat pertama kalinya mencatatkan kejatuhan yang mendadak dalam tempoh 16 bulan akibat gempa bumi dan tsunami yang telah memusnahkan kilang serta pelabuhan-pelabuhan utama.

Yang paling terjejas teruk ialah pengeksportan kereta yang menyaksikan Toyota, Honda serta Nissan menghentikan pengeluaran unit dalam negara kerana kekurangan komponen.

Kenderaan yang merupakan 10% daripada jumlah keseluruhan eksport Jepun telah jatuh sehingga 27.8% pada bulan Mac.

"Situasi sekarang sangat-sangat mengecewakan para pembuat kenderaan dan pengeluar yang lain kerana di sebalik permintaan yang tinggi dari luar negara tetapi mereka tidak dapat mengeluarkan produk kerana kekurangan bahan serta komponen," kata Hiroshi Watanabe, seorang ekonomis dari Institut Penyelidikan Daiwa.

Secara keseluruhannya, eksport pada bulan Mac jatuh 2.2% manakala import telah meningkat 11.9%.

Gempa bumi yang bermagnitut 9.0 pada skala Richter 11 Mac lalu telah mencetuskan tsunami dan kemusnahan besar di Utara Jepun termasuk mengorbankan 25,000 orang serta memusnahkan banyak kilang dan perusahaan.

Hajime Inoue, seorang lagi ekonomis dari Institut Penyelidikan Jepun turut memberi amaran bahawa pada keseluruhannya, eksport Jepun boleh menjunam kepada 20-30% pada bulan-bulan yang mendatang.

"Sekurang-kurangnya pada bulan Mac sesetengah pengeluar masih mampu menggunakan simpanan stok mereka tetapi untuk bulan-bulan yang mendatang, apabila simpanan stok sudah tidak ada lagi, eksport Jepun benar-benar akan dilanda bencana," katanya.

Kekurangan alat komponen akibat bencana alam itu telah memaksa Toyota - pembuat kereta utama dunia - untuk menghentikan keseluruhan pengeluarannya untuk pasaran Jepun antara 14-25 Mac.

Menurut Toyota, gempa bumi itu telah menyebabkan mereka tidak dapat mengeluarkan 260,000 unit kereta.

Sejumlah 46% daripada pengeluaran kenderaan Toyota yang dipasang di Jepun adalah untuk pasaran eksport. Nissan pula mengeksport lebih dari separuh keluaran keretanya dari Jepun manakala Honda dalam lingkungan 30%.

Nissan telah menghentikan semua operasi pengeluarannya di Jepun selama tiga hari selepas insiden 11 Mac sementara Honda menghentikan operasi di kesemua kilangnya di Jepun dari 14 Mac sehingga 10 April.

Artikel Berikut

Artikel Lain