suria

Thailand Potong Cukai Eksais Untuk Kekalkan Harga Diesel

BANGKOK: Kerajaan Thailand pada Rabu meluluskan langkah memotong cukai eksais dan cukai nilai tambah (VAT) terhadap diesel daripada 5.70 Baht/liter (kira-kira 57 sen/liter) kepada 0.005 Baht/liter mulai Khamis hingga 30 September.

Menteri Tenaga Warnarat Charnweerakul berkata pada mesyuarat mingguannya di sini bahawa Kabinet mengambil keputusan itu untuk mengekalkan harga diesel pada kadar 30 Baht satu liter.

Kerajaan bimbang kenaikan harga diesel akan memberi kesan terhadap inflasi, harga barangan pengguna, kos pengangkutan dan keseluruhan ekonomi negara, katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.

Langkah baru itu diambil sebagai pengganti sementara mekanisme sedia ada berhubung pemberian subsidi kepada pengguna diesel melalui Dana Minyak Negara yang berjumlah 34 bilion Baht (kira-kir RM3.4 bilion) kerana dana itu dijangka habis digunakan menjelang akhir bulan ini.

Pemberian subsidi diesel menelan belanja 300 juta Baht (kira-kira RM30 juta) sehari.

Langkah baru itu menyebabkan Thailand kehilangan hasil sebanyak 45 bilion Baht (kir-kira RM4.5 bilion). Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan bajet dan pengurusan fiskal tahun ini, kata Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dilaporkan berkata penyelesaian terbaru itu tidak akan menjejaskan dasar kewangan negara dan taraf hidup rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain