suria

Skandal Pengintipan Renault: Menteri Kewangan Mahu Mereka Yang Bertanggungjawab Dipecat

PARIS: Kerajaan Perancis yang memiliki 15% kepentingan dalam syarikat pembuat kereta Renault, berkata pada Isnin bahawa mereka yang didapati bersalah terlibat dalam skandal membocorkan maklumat syarikat kepada negara luar patut dipecat dengan segera jika dakwaan ini benar.

"Jika kesalahan telah dilakukan, mereka yang sepatutnya bertanggungjawab mestilah melepaskan jawatan dengan sukarela," kata Menteri Kewangan, Christine Lagarde kepada Radio Perancis.

Komen beliau itu dibuat pada ketika Renault sedang bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat luar biasa anggota lembaga pada lewat Isnin bagi membincangkan kandungan laporan jawatankuasa audit berkaitan skandal yang berpusat kepada dakwaan wujudnya musuh dalam selimut yang menjual maklumat syarikat kepada pihak asing.

Dalam pada itu, Menteri Industri, Eric Besson menambah, terpulanglah kepada Renault untuk memutuskan sama ada hendak mengekalkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carlos Ghosn tetapi menegaskan bahawa gaya pengurusan Renault mestilah dikaji semula.

Ghosn dijangka mengemukakan cadangan penyusunan semula organisasi kepada lembaga pengarah dalam mesyuaratnya nanti.

Pada Ahad, sebuah akhbar Perancis, Journal Du Dimanche melaporkan, Ketua Pegawai Operasi Renault, Patrick Pelata, Ketua Hal Ehwal Undang-Undang, Christian Husson dan seorang lagi pegawai kanan dijangka melepaskan jawatan masing-masing menjelang Isnin.

Lagarde juga dipetik sebagai berkata bahawa beliau telah mengarahkan wakil kerajaan di dalam lembaga untuk menyokong laporan jawatankuasa audit itu.

Renault pada Januari lalu telah memecat tiga pengurusnya atas dakwaan menjual maklumat rahsia syarikat berkaitan projek teknologi elektrik yang dijangka bakal mengubah lanskap teknologi konvensional kereta.

Bagaimanapun pada bulan Mac, Renault terpaksa memohon maaf kepada ketiga-tiga pengurus berkenaan selepas siasatan polis mendapati, mereka tidak memiliki sebarang akaun bank untuk penyaluran wang haram sebagaimana yang didakwa dan siasatan juga mendapati ada kemungkinan sumber yang memberikan maklumat berkaitan isu ini adalah palsu.

Renault dan rakan industri mereka dari Jepun iaitu Nissan telah membuat pelaburan yang sangat besar dalam projek kenderaan elektrik dan bercadang untuk melancarkan model kereta elektrik secara besar-besaran menjelang 2014 untuk memenuhi permintaan yang semakin besar ke atas kenderaan yang mesra alam.

Mereka telah melabur Euro 4 bilion di dalam projek ini.

Artikel Lain