suria

Gempa Bumi Di Jepun Jadi Kenangan Sepanjang Hayat

KUALA LUMPUR: Ketika Jepun dilanda gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter sebulan lepas, saya berada di negara itu kerana menunaikan tugas rasmi.

Untuk memenuhi permintaan rakan serta kenalan agar saya menceritakan dengan lebih terperinci detik-detik yang saya lalui ketika berlakunya bencana alam yang amat dahsyat itu, berikut adalah catatan pengalaman yang ingin saya kongsi bersama anda sekalian:

Selepas menikmati hidangan tengah hari bersama Akira Kojima, seorang ahli akademik dan pakar ekonomi terkemuka Jepun di Otemachi (dareah ini juga dikenali sebagai pusat kewangan dan akhbar Tokyo kerana di situlah terletak semua pejabat institusi kewangan dan pejabat akhbar terkemuka Jepun), saya cuba mentafsir pandangan beliau bahawa Negara Matahari Terbit itu memerlukan suatu krisis untuk membolehkannya mencapai lebih banyak kemajuan dalam segenap bidang.

Saya sekali-kali tidak menyangka bahawa apa yang beliau ucapkan itu menjadi kenyataan beberapa jam kemudian.Rancangan saya seterusnya ialah menuju ke Aoyama, sebuah kawasan beli-belah yang popular dalam kalangan wanita muda Jepun yang begitu meminati produk berjenama terkenal seperti Hanae Mori, Prada dan Louis Vuitton.

Kemudian, saya perlu menepati janji temu dengan Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som pada pukul 4.30 petang, di pejabat beliau di Nanpeidai yang terletak di daerah Shibuya, satu kawasan yang serba canggih.

Sebaik saja keluar dari stesen Omotesando, saya hairan kerana langit kelihatan begitu gelap dan berawan tebal, amat jauh bezanya dengan keadaan cuaca yang begitu cerah sebelumnya.

Saya bertanya kepada Junko Tazawa, pegawai Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) yang mengiringi saya untuk mengadakan temu bual dengan duta besar itu, sama ada hari akan hujan. Beliau menjawab dengan berkata ramalan cuaca untuk hari berkenaan tidak menyebut daerah itu akan mengalami hujan.

Pelik sungguh, kata saya di dalam hati. Mungkinkah ini merupakan petanda bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku? Kami masuk ke sebuah kedai yang menjual pelbagai barang keperluan pelajar kerana di Aoyama terdapat dua universiti - Aoyama Gakuin University dan United Nations University.

Kami naik ke aras satu bangunan lapan tingkat itu. Ketika saya sedang memasukkan beberapa barang ke dalam sebuah bakul, bangunan itu bergoncang dengan kuat selama lebih kurang 10 saat. Saya belum pernah alami kejadian seperti itu.

Dalam keadaan terkejut dan terpinga-pinga, saya bertanya kepada Junko sama ada gempa bumi sedang berlaku, tetapi beliau tidak menjawab pertanyaan itu.

Apabila berlaku satu lagi gegaran lebih kuat selama kira-kira 20 saat, tahulah saya bahawa gempa bumi sedang berlaku, lebih-lebih lagi apabila saya melihat melalui tingkap kedai itu dua kren gergasi pembinaan berhayun seperti pohon kelapa ditiup ribut.

Rak yang dipenuhi pelbagai barang di kedai itu mula terbalik dan kami disuruh pergi ke arah belakang kedai berkenaan serta berlindung di bawah meja dan sebagainya.

Saya tidak mematuhi arahan itu, sebaliknya berlari turun melalui tangga dan menuju ke kawasan lapang. Apabila gegaran tadi berhenti, dua kren berkenaan kelihatan masih berhayun.

Apabila Junko berkata beliau belum pernah mengalami keadaan seperti itu, maka tahulah saya bahawa gempa bumi kuat telah berlaku dan ternyata ia adalah yang paling kuat di Jepun dalam tempoh 100 tahun lepas.

Pada awal minggu berkenaan, berlaku dua gegaran pertama yang berukuran 6.6 pada skala Richter iaitu pada 7 Mac dan selepas itu, yang berukuran pada 7.2 skala Richter, pada 9 Mac.

Saya berkata di dalam hati bahawa memandangkan dua gempa bumi itu berlaku pada waktu yang begitu hampir antara satu dengan lain, 'Sesuatu Yang Dahsyat' pasti akan berlaku.

Untuk menyedapkan hati, saya berkata kepada diri sendiri bahawa saya akan terselamat kerana saya akan meninggalkan Jepun pada Sabtu, 12 Mac. Bagaimanapun, dugaan saya itu meleset.

Tulisan pewarta AAP di Tokyo Malcolm Foster bertarikh 7 Mac mencerminkan sepenuhnya apa yang saya fikirkan.

Beliau menulis: "Jelaslah, gempa bumi itu tidak menjejaskan Jepun, tetapi ia merupakan satu lagi peringatan bahawa ancaman oleh "Sesuatu Yang Dahsyat" akan menjadi kenyataan".

Namun demikian, ada juga pihak yang meraguinya dan beberapa pengulas pula mengumpamakan laporan beliau yang tersiar dalam 7News melalui Yahoo itu seperti ramalan akan berlakunya kiamat, sedangkan kata mereka, "satu sudu pun tidak jatuh apabila Jepun dilanda gempa bumi dengan magnitud 7.2".

Memandangkan kira-kira 12,700 orang telah maut dan lebih kurang 14,700 yang lain masih hilang, ternyatalah laporan beliau itu bukan daripada jenis laporan mengenai tarikh akan berlakunya kiamat.

Sejurus selepas berlakunya gempa bumi itu, orang ramai mula membanjiri jalan raya di Aoyamo-dori, manakala kesesakan lalu lintas pula menjadi semakin teruk.

Kemudian, satu gegaran susulan berlaku pada pukul 3.30 petang. Bagi saya, gegaran ini lebih menakutkan berbanding gempa yang berlaku pada pukul 2.46 petang kerana setelah terselamat daripada kejadian pertama, saya bimbang akibatnya akan lebih buruk lagi. Tetapi, mujurlah, ia tidak seperti apa yang saya jangkakan itu.

Oleh kerana perkhidmatan kereta api bawah tanah menghentikan operasinya, kami terpaksa berjalan ke kedutaan Malaysia kira-kira empat atau lima kilometer dari situ.

Kami bertemu dengan Shaharuddin sejurus selepas beliau mengadakan mesyuarat tergempar dengan petugas di kedutaan itu dan para wakil daripada pelbagai agensi Malaysia yang berpejabat di Tokyo.

Beliau memberi taklimat ringkas tentang apa yang telah berlaku. Bangunan kedutaan itu tidak terjejas, kecuali sekeping dinding aluminium berhampiran silingnya lekang dan jatuh.

Sebagai diplomat yang cekap dan berpengalaman luas, Shaharuddin tetap mahu diadakan temu bual berhubung hubungan Malaysia-Jepun, walaupun beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon dari tanah air. Beliau boleh memilih untuk menjawab soalan saya melalui e-mail, tetapi beliau tidak membatalkan janji temu itu, mungkin kerana menghargai susah payah saya terpaksa saya lalui untuk datang ke pejabatnya.

Dalam hal ini, mungkin duta Malaysia yang lain boleh mempelajari sesuatu daripada Shaharuddin tentang hubungan media. Setelah temu bual itu selesai sekitar pukul 6 petang, kami cuba mendapatkan teksi, tetapi gagal. Saya dapati, walaupun ketika itu tidak hujan, awan gelap tadi sudah tiada lagi, tetapi diganti pula dengan awan berwarna kemerah-merahan.

Kami berjalan semula ke stesen Shibuya dan bernasib baik kerana dapat menaiki bas untuk melindungi diri kami daripada cuaca sejuk untuk selama lebih kurang setengah jam.

Di sini, saya dapat melihat betapa tingginya disiplin rakyat Jepun. Walaupun bas yang kami naiki itu tersangkut dalam kesesakan lalu lintas dan tinggal lebih kurang lima meter saja lagi untuk memasuki petak parkirnya, tetapi para penumpang tidak berebut-rebut untuk turun.

Manusia berderet panjang di merata tempat pondok telefon, stesen bas dan teksi serta restoran. Oleh kerana dipenuhi pelanggan, sebuah restoran menyediakan kerusi khas di luar premisnya dan bakal pelanggan menunggu dengan penuh sabar untuk menikmati makanan.

Perbuatan mencuri juga tidak berlaku walaupun keadaan di Tokyo pada mulanya agak kelam-kabut.

Kami mengambil kesempatan untuk duduk di restoran itu selama yang mungkin, sebelum diminta beredar menjelang pukul 10 malam.

Saya tidak dapat membayangkan betapa seksanya jika kami terpaksa berjalan pulang selama lebih dua jam dalam keadaan cuaca sejuk pada suhu hampir kosong darjah Celsius.

Tiba-tiba terdengar bunyi seakan-akan satu ngauman di stesen kereta api bawah tanah itu. Ia sesuatu yang amat kami harapkan kerana ini bermakna perkhidmatan kereta api sudah pulih. Bagaimanapun, ia hanyalah untuk beberapa destinsi tertentu sahaja, termasuklah untuk ke destinasi saya.

Apabila menonton televisyen di hotel penginapan saya kemudiannya, barulah saya tahu apa sebenarnya yang telah berlaku, termasuklah tsunami amat dahsyat yang melanda Jepun berikutan gempa bumi itu, terutama di Sendai.

Apabila menyebut Sendai, saya rasa saya perlu berterima kasih kepada Hiroki Takahashi, bekas pengarah urusan pejabat Jetro di Kuala Lumpur kerana keengganan beliau memenuhi permintaan saya pada saat-saat akhir untuk pergi ke sana.

Kalaulah beliau memenuhi permohonan saya itu, saya percaya saya akan ke sana pada Jumaat iaitu setelah selesai menjalani semua urusan rasmi saya.

Beliau berkata kepada saya: "Tak apalah, Sendai taklah terlalu jauh dan tidak juga terlalu dekat". Melalui kata-kata itu, saya dapat menangkap maksud beliau bahawa lebih baiklah saya pergi ke sana pada lain kesempatan. Mujurlah saya tidak ke Sendai, jika tidak, tentu sekali saya akan terperangkap dalam kejadian tsunami yang sungguh dahsyat itu.

Keadaan di bandar raya Tokyo pada keesokan harinya agak sunyi dan jauh berbeza dengan keadaan pada hari biasa yang sentisa sibuk. Perkhidmatan bas dan kereta api ke Lapangan Terbang Narita dibatalkan.

Apabila mendengar khabar tentang kebocoran radiasi di Fukushima, saya membuat keputusan untuk meninggalkan Jepun, secepat mungkin. Saya dimaklumkan bahawa penerbangan saya ialah pada pukul 9 pagi Ahad.

Oleh kerana perkhidmatan bas dan kereta api masih tidak menentu, saya mengambil keputusan untuk menggunakan perkhidmatan teksi dengan tambang paling mahal dalam hidup saya setakat ini hampir 27,000 yen (RM968) untuk ke Lapangan Terbang Narita. (Tambang itu kemudiannya dibayar balik kepada saya oleh Jetro).

Setelah menghabiskan sepanjang malam dengan melelapkan mata di atas lantai berhampiran sebuah bilik penyelia bangunan di lapangan terbang itu, saya berasa amat lega apabila mendapati pesawat B777 MAS sudah bersedia untuk membawa saya pulang ke tanah air.

Apabila dikenangkan kembali, saya rasa saya sungguh bernasib baik dan amat bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa satu gempa bumi dan tsunami yang sungguh dahsyat serta dapat kembali untuk menjalani kehidupan di negara yang sungguh bertuah dan tercinta ini. -BERNAMA

Artikel Lain