suria

Asean, Jepun Fikir Soal Kerjasama Dalam Pengurusan Bencana

JAKARTA: Menteri-menteri Luar ASEAN telah berazam untuk membantu dan menyokong Jepun dan rakyatnya dalam proses pemulihan dan pembangunan semula negara itu ekoran bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu, bulan lepas.

Mereka berkata ASEAN akan membalas sokongan baik Jepun dalam pembangunan kumpulan 10-anggota kumpulan serantau itu selama ini.

Tanda simpati dan perpaduan terhadap rakyat Jepun itu terkandung dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari terakhir Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ASEAN dan Jepun di Sekretariat ASEAN di sini, Sabtu.

Inisiatif itu diambil sebagai respons terhadap kesan bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda pada 11 Mac lalu serta bencana semula jadi di beberapa bahagian lain di rantau itu.

Menter-menteri Luar ASEAN dan Jepun turut mengesahkan komitmen mereka dalam meningkatkan kerjasama dalam bidang pengurusan bencana, memandangkan kedudukan negara Matahari Terbit itu yang mudah terdedah kepada bencana alam.

Mesyuarat itu juga menegaskan keperluan untuk meningkatkan kerjasama pengurusan bencana yang sedia wujud di bawah pelbagai mekanisme serantau.

Menteri-Menteri Luar ASEAN juga meminta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan untuk bekerjsama rapat dengan negara anggota dalam usaha membantu proses pemulihan Jepun di kawasan-kawasan yang teruk dilanda bencana itu.

Pada mesyuarat tersebut, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman menyampaikan ucapan simpati dan takziah negara kepada rakan sejawatan, Takeaki Matsumoto bagi pihak kerajaan Jepun dan rakyat negara itu.

"Usul oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib di Parlimen mengenai perkara itu telah diluluskan dengan sebulat suara," kata Anifah pada mesyuarat itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa, itu dirasmikan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. -BERNAMA

Artikel Lain