suria

Isteri Presiden Rusia Tiada Wang Simpanan

MOSCOW: Para pemimpin Rusia pada Isnin mengisytiharkan pendapatan mereka bagi tahun 2010, dengan Presiden Dmitry Medvedev mendedahkan bahawa beliau hanya memiliki sebuah kereta klasik yang seusia dengan era Joseph Stalin manakala isterinya tidak mempunyai sebarang wang simpanan.

Medvedev mengisytiharkan memperolehi wang pendapatan tahunan berjumlah 3.378 juta rubles (AS$120,653).

Laporan tentang pengisytiharan harta para anggota kabinet Kerajaan Rusia itu telah disiarkan di dalam laman web rasmi kerajaan.

Pendapatannya itu ternyata jauh lebih rendah daripada mentornya yang juga kini merupakan Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin, yang mengisytiharkan jumlah pendapatan sebanyak AS$180,118.

Tiada menteri kabinet atau mana-mana pemimpin utama Rusia membeli kereta baru, tanah, hartanah atau apartmen sepanjang tahun lalu.

Putin masih mengisytiharkan memiliki dua buah kereta klasik Volga, sebuah jip dan sebuah karavan yang kesemuanya adalah buatan Rusia.

Medvedev pula menyatakan bahawa satu-satunya kereta milik peribadinya adalah sebuah kereta buatan Soviet - Pobeda Klasik yang dibuat pada tahun 1948.

Isterinya Svetlana, yang merupakan seorang surirumah sepenuh masa menyenaraikan sebuah kereta Volkswagen Golf berusia 12 tahun sebagai kereta milik peribadi. Kereta itu telah digunakannya sejak tiga tahun lalu.

Svetlana Medvedeva juga mengisytiharkan bahawa beliau pernah membuka tiga buah akaun bank tetapi kesemuanya kosong tanpa wang.

Anak lelaki remaja Medvedev bernama Ilya, yang gambarnya tidak pernah dirakamkan di tempat awam turut disenaraikan sebagai seseorang yang tidak memiliki harta, pendapatan atau simpanan.

Ilya baru-baru ini dilaporkan bermain gitar bersama kumpulan rock Deep Purple tetapi bagaimanapun tiada gambar dirakamkan mengenainya.

Sementara itu isteri Putin, Lyudmila pula disenaraikan memperolehi AS$5,222 pada tahun 2009 tetapi mengisytiharkan tidak memperolehi apa-apa pendapatan pada tahun 2010.

Pemimpin Rusia yang disenaraikan memperolehi pendapatan paling tinggi sepanjang dua tahun ini ialah Yury Trutnev, iaitu menteri sumber asli dan ekologi.

Beliau mengisytiharkan memperolehi pendapatan AS$4.097 juta. Isteri para menteri dengan pendapatan tertinggi ialah isteri kepada timbalan perdana menteri, Igor Shuvalov dengan jumlah pendapatan sebanyak AS$13.3 juta.

Pendapatan suaminya hanya AS$523,256 sepanjang tahun lalu.

Sebahagian besar pendapatan Olga Shuvalova adalah daripada syarikat pemaju hartanah yang dimilikinya.

Langkah mewajibkan para pemimpin kerajaan mengisytiharkan harta ini diperkenalkan Medvedev pada tahun 2009 sebagai satu langkah untuk mempraktikan ketelusan di dalam pentadbirannya.

Artikel Lain