suria

Serangan Bom Di Pakistan, 27 Bakal Tentera Terkorban

MARDAN (Pakistan): Seorang yang dipercayai remaja telah meletupkan dirinya ketika majlis kawad tamat kursus latihan ketenteraan sekaligus mengorbankan 27 rekrut, Khamis dalam apa yang disifatkan sebagai serangan berani mati paling besar di negara itu sejak Disember tahun lalu.

Lebih kurang 35 lagi dilaporkan tercedera.

Puak Taliban dengan segera mengakui bertanggungjawab ke atas serangan itu yang mereka sifatkan sebagai tindakan membalas dendam ke atas serangan balas Amerika Syarikat ke atas beberapa kawasan persembunyian puak berkenaan baru-baru ini.

Remaja berkenaan dikatakan memakai pakaian seragam sekolah ketika dia meletupkan dirinya ketika para rekrut sedang melakukan kawad tamat latihan di akademi latihan ketenteraan yang dikawal rapi.

Mardan terletak lebih kurang 30 kilometer dari pusat pentadbiran kerajaan pusat, Peshawar.

Pada 25 Disember tahun lalu, seorang wanita yang berpakaian burqa telah meletupkan dirinya di kawasan yang padat berhampiran kawasan pembahagian bekalan makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Bajaur membunuh 43 orang awam.

Sejak Julai 2007, Pakistan boleh dikatakan diancam oleh serangan berani mati puak Taliban dan Al-Qaeda yang telah menyaksikan lebih 4,000 orang terbunuh.

Sebahagian besar daripada serangan berkenaan berlaku di wilayah yang sukar dikawal di Barat Daya Pakistan dan kawasan yang bersempadan dengan Afghanistan di mana puak-puak bersenjata lebih berkuasa daripada kerajaan pusat.

Dengan kerajaan pusat yang lemah, Pakistan kini berada di bawah tekanan untuk menghapuskan sel-sel pergerakan Taliban dan rangkaian Al-Qaeda yang bersembunyi dan bergerak di bawah tanah dan kawasan pergunungan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain