suria

AS Akan Pastikan Taliban Tidak Kembali Berkuasa Di Afghanistan - Obama

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengulangi pendirian negaranya untuk memastikan Al-Qaeda dan pemerintahan ala-Taliban tidak kembali berkuasa di Afghanistan.

Dalam satu rakaman temu ramah dengan saluran berita FOX News, Obama telah ditanya apakah AS akan menang dalam kempennya di Afghanistan, yang kini telah memasuki tahun yang ke-10, dan Obama menjawab: "Apa yang boleh saya katakan ialah kita akan menewaskan Al-Qaeda dan akan memastikan Taliban tidak akan kembali mengambil alih semula Afghanistan."

Bagaimana pun, menurut transkrip temu ramah itu yang dikeluarkan lebih awal, Obama dengan pantas mengingatkan para penonton bahawa apa yang beliau katakan itu bukanlah satu jaminan seratus peratus namun yakin asas pertahanan yang telah diletakkan oleh pasukan keselamatan Amerika di Afghanistan memberikannya keyakinan bahawa Taliban tidak akan kembali memerintah Afghanistan.

Menurut Obama, pihak tentera Amerika telah meletakkan asas yang kukuh bagi membolehkan pasukan tentera Afghanistan mengambil alih keselamatan negara itu dengan kekuatan dan persediaan untuk memastikan Taliban tidak kembali memerintah negara berkenaan.

Namun begitu, Obama tidak menafikan Taliban akan terus menjadi faktor yang akan mencetuskan suasana darurat di Afghanistan.

Pemerintahan Taliban telah ditumpas dan diusir keluar dari Kabul, Afghanistan pada November 2001 dalam satu operasi yang diketuai oleh tentera Amerika.

Dalam ucapannya di hadapan anggota-anggota kongres bulan lalu, Obama telah mengulangi akan menunaikan janjinya untuk menarik keluar pasukan tentera Amerika dari Afghanistan yang kini berjumlah 100,000 anggota menjelang Julai depan.

Proses menyerahkan urusan keselamatan negara berkenaan kepada pasukan keselamatan Afghanistan telahpun bermula awal tahun ini.

Dalam temu ramah tersebut, Obama turut ditanya sama ada beliau bimbang, penarikan keluar tentera Amerika dari Iraq juga akan membuka peluang kepada musuh tradisi mereka Iran yang merupakan jiran bersempadan dengan Iraq untuk mendominasi pengaruh mereka ke atas Iraq.

Obama menjawab; "Iran adalah jiran Iraq yang paling hampir dan kita tidak dapat menghalangi kedua-dua buah negara daripada mengadakan hubungan dua hala. Tetapi saya percaya dan yakin yang Iraq akan mampu mengekal dan mempertahankan kedaulatannya dan terus mengekalkan hubungan yang rapat dengan kita.”

Pada masa ini terdapat lebih kurang 50,000 anggota tentera AS di Iraq, jauh lebih rendah daripada 170,000 anggota yang pernah suatu ketika dahulu ditempatkan di negara kedua paling kaya dengan rezab minyak di muka bumi ini.

Amerika juga dijadual mengeluarkan kesemua anggota tenteranya dari Iraq menjelang hujung tahun ini.

Menurut jadual yang ditetapkan oleh pentadbiran Obama, menjelang 2012, kehadiran AS di Iraq hanya akan terdiri daripada 20,000 orang awam yang berkhidmat dengan pelbagai agensi swasta Amerika yang mendapat kontrak untuk membangunkan semula ekonomi serta sistem pertahanan negara itu serta para diplomat dan kakitangan kedutaan.

Amerika juga akan mempunyai dua buah cawangan kedutaan di Iraq, dua buah pejabat konsulat dan tiga akademi latihan polis untuk melatih pasukan keselamatan Iraq.

Artikel Lain