suria

Bencana Di Indonesia Menjana Pendapatan

KINAHREJO (INDONESIA): Penduduk daerah Jawa yang terselamat daripada bencana dahsyat ekoran letusan Gunung Merapi, kini memanfaatkan musibah yang berlaku atas nama "pelancongan bencana" dalam membina semula kehidupan mereka yang musnah.

Suwarni kehilangan rumah dan bapa mertuanya apabila gunung berapi meletus pada Oktober dan November tahun lalu, menyebabkan 350 nyawa terkorban.

Bantuan oleh kerajaan adalah sedikit dan dengan peluang pekerjaan yang tidak banyak, ibu berusia 26 tahun itu mula menjual cakera padat mengenai bencana itu kepada para pelancong yang mengunjungi Yogyakarta.

"Ia adalah satu perasaan yang janggal. Saya menjual video cakera padat tentang rumah saya yang musnah kepada pelancong," beritahu Suwarni kepada agensi berita AFP.

"Saya tidak punya pilihan. Walaupun ianya sukar, saya harus melupakannya dan mencari pendapatan untuk keluarga," katanya lagi.

Menurut pihak rasmi, sejak tahap ancaman telah dikurangkan, pelancong dari segenap pelusuk Indonesia dan dunia datang ke Merapi untuk menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku akibat daripada letusan tersebut.

Letusan itu adalah yang terbesar sejak 1872 dan teras gunung yang berketinggian 2,970 meter itu masih lagi cair menggelegak.

Walaupun tahap rasmi sekarang adalah di tahap berjaga-jaga, letusan gunung berapi sudahpun berhenti.

Hampir 400,000 penduduk yang berteduh di kawasan perlindungan telahpun pulang ke rumah masing-masing tetapi yang dijumpai hanyalah abu dan lumpur di atas kawasan yang pernah menjadi perkampungan mereka suatu ketika dahulu.

Pemandangan di sini masih menampakkan kejadian bencana, terutamanya di lereng selatan di mana kelihatan serpihan batu-batu yang terbentuk dari lava dan gas, yang mengakibatkan hampir keseluruhan kawasan berkenaan musnah.

Pokok-pokok yang hangus terbakar dan serpihan kereta bersepah di sekitar kawasan perkampungan Suwarni, Kinahrejo, yang terletak hanya kira-kira empat kilometer dari tapak gunung berapi.

Perkampungan yang dulunya sangat indah telahpun hilang dari pandangan ditelan timbunan tanah hitam.

Keluarga Suwarni menternak lembu tenusu sebelum malapetaka itu berlaku tetapi sekarang beliau menjual VCD itu dengan harga kira-kira empat ribu rupiah setiap satu dan hanya menjalani hidup 'kais pagi makan pagi'.

Pelancong dari belanda Hans Van Der Weide, 62, berkata beliau seakan tidak percaya bahawa lanskap yang dulunya subur dan penuh kehijauan itu kini telah berubah wajah.

Saya mahu menyaksikan kesan daripada letusan yang berlaku kerana saya pernah berada di sini sebelumnya... ianya sangat dahsyat kerana semua di sini telah musnah," katanya lagi.

Penuntut bidang geografi dari Amerika Syarikat, Kylie Miller, 21, menjelaskan bahawa dia tidak menyangka akan melihat begitu ramai pelancong di sini.

"Saya terkejut melihat begitu ramai pelancong di kaki gunung dan yang berjalan di sekitar kawasan kemusnahan...Saya melihat beribu-ribu orang datang hanya untuk melihat kawasan yang musnah," jelas beliau.

"Saya berharap wang yang didapati daripada kutipan bayaran meletak kenderaan, juga jualan cenderahati dan makanan akan dapat memanfaatkan komuniti dan mempercepatkan proses membina semula kehidupan penduduk tempatan yang telah banyak mengalami kerugian," ujarnya.

Embah Marijan yang merupakan "penjaga" tradisional Gunung Merapi adalah penduduk yang paling terkenal di Kinahjero. Warga emas yang dilantik oleh Sultan Yogyakarta untuk menjaga roh gunung berapi itu, enggan menuruti arahan supaya mengosongkan kawasan rumahnya dan terkorban di dalam letusan pertama.

Pengorbanannya menjadi lagenda bagi penduduk tempatan.

Salah seorang anak perempuannya,Panut, 59, kini menjual rokok, mi segera dan minuman kepada para pelancong untuk mencari rezeki.

Walaupun sebelum letusan berlaku, rumah Marijan telah pun menjadi tumpuan ramai pengunjung yang bersifat ingin tahu.

Menurut Panut, jumlah pengunjung telah meningkat sebanyak tiga kali ganda sejak kematian bapanya kerana mereka mahu memberi pernghormatan mahupun hanya mahu melihat kemusnahan yang berlaku.

"Walaupun ramai pelancong yang datang berkunjung, saya masih miskin kerana kediaman saya telah musnah," Kata Panut.

Kerajaan katanya harus memberi mereka rumah yang baru.

Pengunjung Indonesia, Chayo Sunarko, 22, dari pekan Magelang, Jawa menyatakan bahawa beliau berasa terhina oleh pelancong yang hanya datang ke Merapi untuk berhibur semata-mata.

"Anda boleh lihat yang semuanya telah hancur musnah. Ia merupakan kawasan yang sempurna untuk menggambarkan bahawa Tuhan boleh mengambil apa sahaja dalam sekelip mata," kata penuntut itu.

Merapi bukanlah satu-satunya kawasan bencana yang terkenal di kalangan pelancong.

Gunung berapi lumpur yang dikenali sebagai "Lusi" juga menarik minat ramai pelancong ke daerah Sidoarjo di wilayah Jawa Timur, di mana pancutan air panas mula memancut keluar daripada perut bumi pada 20 Mei, 2006.

Lumpur kelabu panas dan menggelegak yang seakan konkrit basah yang keluar dari gunung berapi itu telahpun menenggelamkan 12 perkampungan, mengorbankan 13 nyawa dan menyebabkan 42,000 orang hilang tempat tinggal.

Artikel Sebelum

Rusia Usir Wartawan British

Artikel Lain