suria

Rusia Usir Wartawan British

LONDON: Seorang wartawan British dari akhbar popular the Guardian telah diusir dari Rusia selepas beliau menulis satu laporan yang merujuk bekas negara komunis itu telah bertukar menjadi sebuah "negara mafia".

Luke Harding, koresponden the Guardian di Moscow telah dihalang daripada memasuki Rusia semula selepas beliau pulang ke negaranya selama dua bulan untuk menulis laporan yang diperolehinya daripada laman web pembocor maklumat rahsia Amerika, WikiLeaks.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh the Guardian, Isnin, sebaik sahaja tiba di Moscow, Harding telah ditahan selama 45 minit dan selepas itu dia terus dihantar pulang melalui penerbangan seterusnya ke London.

Kata akhbar berkenaan, wartawan mereka itu tidak diberi sebab atau alasan di atas keputusan pihak berkuasa Moscow untuk menghalang dia memasuki semula negara berkenaan.

"Saya tidak datang ke sini (Rusia) dengan sebarang agenda dan saya berasa sedih untuk meninggalkannya dalam situasi begini,” Harding dipetik sebagai berkata.

Ketua Pengarang the Guardian, Alan Rusbridger, menyifatkan penyingkiran wartawannya itu sebagai satu perkembangan yang tidak sihat.

"Ini adalah satu perkembangan yang sangat membimbangkan apabila Kerajaan Rusia mula menghantar pulang pemberita yang tidak sehaluan dengan mereka atau yang tidak mereka sukai," katanya.

Penyingkiran Harding juga telah mendorong campur tangan Kementerian Luar Britain.

Artikel Lain