suria

Sydney Laneway Akan Ditukar Jadi Pasar Penjaja Malaysia

MELBOURNE: Malaysia Kitchen Australia akan beroperasi di Sydney pada 16 Februari apabila State Theatre Laneway di daerah perniagaan pusat Sydney (CBD) ditukarkan menjadi pasar penjaja Malaysia. Para pengunjung yang melawat Malaysia Kitchen Food Market akan berpeluang merasai pelbagai makanan tradisional Malaysia termasuk rendang daging, roti dan laksa daripada restoran terbaik Malaysia di Sydney.

Antara restoran yang mengambil bahagian termasuklah Mamak, Chinta Ria, Sambal, Jackie M, Jimmy's Recipe dan Melbourne's Laksa Me.

Bukan sahaja disajikan dengan makanan yang enak para pengunjung juga dapat menikmati pemandangan menarik dengan premis itu dihiasi dengan tanglung pelbagai warna, kolaj dinding dan pemasangan lampu yang mencerminkan imej hasil-hasil seni cef Malaysia.

Selain itu para pengunjung juga berpeluang memenangi ganjaran melancong ke Malaysia hasil sumbangan Tourism Malaysia dan Malaysia Airlines (MAS).

Malaysia Kitchen Australia merupakan inisiatif oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang disasarkan untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat Australia mengenai masakan Malaysia.

Pelancaran Malaysia Kitchen Australia adalah susulan daripada kejayaan pelancaran Malaysia Kitchen di London dan New York. - BERNAMA

Artikel Lain