suria

Kajian Dapati Bunuh Diri Paling Tinggi Di Kalangan Pesalah Undang-Undang

WASHINGTON: Mereka yang didapati pernah melanggar undang-undang walaupun terlepas daripada hukuman penjara, mencatatkan kes bunuh diri yang tinggi, demikian menurut satu laporan kajian yang disiarkan oleh Persatuan Perubatan Amerika.

Kajian tersebut yang dijalankan oleh sepasukan penyelidik dari Universiti Manchester, England telah memeriksa rekod di Denmark dan mendapati, trend membunuh diri adalah paling tinggi di kalangan mereka yang pernah dijatuhkan hukuman bersalah kerana melanggar undang-undang berbanding dengan mereka yang tidak pernah melanggar undang-undang.

"Malah percubaan membunuh diri juga mencatatkan peratusan yang tinggi di kalangan mereka yang dijatuhkan hukuman bersalah tetapi diterlepas daripada hukuman penjara," jelas kajian itu lagi.

Pasukan penyelidik telah memeriksa rekod 27,219 rakyat Denmark yang mati akibat membunuh diri antara tahun 1981 hingga 2006 dan membandingkan mereka dengan satu kumpulan orang yang masih hidup tetapi mempunyai umur dan jantina yang sama.

Mereka kemudian mencantumkan data berkenaan dengan rekod yang diperolehi daripada pejabat pendaftar jenayah untuk memastikan individu manakah yang pernah mempunyai rekod jenayah selepas tahun 1980.

Hasilnya ialah lebih sepertiga iaitu 34.8 peratus daripada lelaki yang membunuh diri memiliki sejarah pernah melanggar sistem undang-undang manakala di kalangan wanita pula 12.8 peratus.

"Risiko untuk membunuh diri khususnya di kalangan pesalah muda adalah yang paling tinggi lebih-lebih lagi mereka yang mengulangi kesalahan berkenaan,” kata kajian itu lagi.

Artikel Lain