suria

Bangladesh Dilumpuhkan Mogok Pembangkang

DHAKA: Beribu-ribu polis anti rusuhan mengawasi jalan-jalan di ibu negeri Bangladesh berikutan mogok yang hampir melumpuhkan seluruh negara itu yang dilancarkan oleh parti pembangkang utama.

Menurut pihak polis, sekurang-kurangnya lapan buah bas dibakar semalaman, hanya beberapa jam sebelum Parti Pejuang Kebangsaan Bangladesh (BNP) melancarkan mogok untuk memprotes rancangan pembinaan sebuah lapangan terbang yang kontroversi dan harga makanan yang naik melambung tinggi.

Semua kedai dan juga sekolah telah ditutup dan jalanraya utama di dalam dan di sekitar ibu negeri itu telah dikosongkan.

Sekurang-kurangnya 8,500 polis telah ditempatkan di Dhaka sahaja untuk mengawal keadaan.

Keselamatan turut diketatkan dan tiada keganasan dilaporkan di tempat lain," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka, Habibur Rahman kepada agensi berita AFP.

Mogok ini adalah yang ketiga dilancarkan pihak BNP sejak parti itu mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya 2008.

Mereka juga membantah rancangan kerajaan untuk membina sebuah lapangan terbang di kawasan yang sering mengalami banjir, Srinigar, di selatan Dhaka.

Kerajaan Bangladesh kemudian membatalkannya disebabkan demonstrasi yang diadakan oleh sekurang-kurangya 20,000 penduduk kampung bulan lepas.

Seorang anggota polis telah dipukul sehingga mati semasa penentangan itu diadakan.

Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang mahu menamakan lapangan terbang itu sempena nama bapanya, seorang pemimpin pengasas negara, berkata kerajaan akan membina lapangan terbang itu di tapak yang lain ekoran bantahan penduduk setempat.

BNP mengkritik rancangan pembinaan itu sebagai pembaziran wang cukai rakyat dan menyatakan tiga buah lapangan terbang yang sedia ada mampu untuk menampung permintaan penggunaan lalulintas udara pada tahun-tahun yang akan datang.

Parti ini juga turut mengeksploitasi ketidakpuasan hati rakyat tentang harga makanan yang semakin tinggi, dengan inflasi mencapai dua angka dalam beberapa bulan ini berpunca daripada hasil padi yang teruk di dalam dua penuaian berturut-turut.

Artikel Lain