suria

India Perketat Penjualan Antibiotik Elak Penyalahgunaan

NEW DELHI: Badan penguatkuasa penjualan ubat di India kini menampilkan peraturan-peraturan lebih ketat bagi menangani masalah penggunaan antibiotik yang melampau, yang dikatakan menjadi punca kepada kemunculan "superbug" NDM-1, yakni bakteria yang dikenalpasti kebal terhadap semua jenis antibodi.

Drug Controller General of India (DCGI) mengumumkan bahawa setiap pesakit kini memerlukan preskripsi yang lebih sempurna untuk membeli antibiotik, bagi mengelak penyalahgunaan antibiotik itu, yang sebelum ini terlalu mudah untuk diperolehi tanpa pemantauan.

"Doktor yang memberikan preskripsi antibiotik yang kuat bagi jangkitan yang biasa sahaja, kini tahu bahawa mereka mudah dikenal pasti kerana salinan preskripsi yang diberikan kepada pegawai yang bertanggungjawab mengagih ubat itu akan disimpan selama setahun bagi tujuan audit," kata pegawai DCGI Surinder Singh kepada wartawan, Sabtu.

"Langkah ini adalah sebagai usaha mencegah doktor atau pegawai perubatan yang memberi kebenaran penggunaan antibiotik sewenang-wenangnya," katanya.

Ogos lepas jurnal Lancet Infectious Disease melaporkan bahawa bakteria superbug yang dinamakan New Delhi metallo-beta-lactamase-I (NDM-1) itu berasal dari India, dan ia kebal terhadap semua jenis antibodi.

Kini pakar-pakar perubatan bimbang bakteria superbug yang mengakibatkan kegagalam pelbagai organ pesakit yang membawa kepada kematian itu, boleh menampilkan ancaman penyakit yang serius di seluruh dunia.

Dengan dasar baru yang diperkenalkan sejak Jumaat itu, sekurang-kurangnya 70 ubat, termasuk antibiotik akan berada dalam pemantauan ketat oleh DCGI di India. - BERNAMA

Artikel Lain