suria

Semua Jemaah Haji Malaysia Dijangka Tiba Di Tanah Suci Mekah 9 November

MEKAH: Kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan fardhu haji musim 1431 Hijrah ini dijangka berada di tanah suci Mekah pada 9 November ini.

Menurut Timbalan Ketua Rombongan Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman 73 peratus daripada mereka sudahpun berada di Mekah dan Madinah sehingga semalam.

"Penerbangan terakhir dijangka tiba di Jeddah pada 9 November ini dan mereka akan menaiki bas terus ke Kota Mekah kira-kira 70 kilometer," katanya kepada pasukan media Tabung Haji (TH) yang membuat liputan musim haji ini.

Beliau berkata penerbangan terakhir membawa jemaah haji yang akan tinggal di Madinah selama lapan hari sebelum memasuki Mekah, tiba di lapangan terbang di Madinah semalam, dan selepas ini semua penerbangan akan terus ke Jeddah.

"Dari 73 peratus yang tiba, cuma 15 peratus masih berada di Madinah. Perjalanan mereka ke Mekah dengan bas sejak rombongan pertama tiba 9 Oktober lepas berjalan dengan lancar," kata Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Kewangan Korporat & Perkhidmatan TH.

Mengenai penambahbaikan perkhidmatan untuk jemaah haji, beliau berkata TH memperkenalkan program "Sahabat TH" dengan memilih 20 jemaah yang memenuhi kriteria antaranya sihat dan berpengalaman bagi membantu petugas agensi itu.

"Sahabat TH antaranya berperanan memberi maklum balas tentang perkhidmatan, sajian makanan, kualiti petugas serta memberi penerangan dan membantu pergerakan jemaah ke Arafah, Mina dan Muzdalifah," kata Syed Saleh.

Dr Noorminshah Ahad, 33, pensyarah Universiti Teknoloji Mara (UTM) Skudai, Johor yang menyertai program tersebut berkata Sahabat TH amat baik kerana ia dapat menjadi pentas interaksi dua-hala antara jemaah dan TH.

Pegawai Mara dari Kota Bharu, Kelantan, Azman Mohd Yusoff, 50, pula berkata beliau menggunakan program itu untuk menyampaikan pandangan jemaah kepada TH.

"Kami berpuas hati kerana perkhidmatan TH cukup memuaskan dan antara yang terbaik. Jemaah haji Malaysia cukup bertuah tambahan petugas TH sangat mesra dan setiap masalah mereka ditangani dengan memuaskan," tambahnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain