suria

Abu Volkanik Merapi Sampai Kota Yogyakarta

YOGYAKARTA: Letusan Gunung Merapi selama 21 minit awal pagi ini, yang menyemburkan awan panas abu volkanik dan memuntahkan lahar panas, telah mengakibatkan debunya bertebaran ke udara sehingga ke kawasan sejauh 65km di Klanten, Jawa Tengah.

Antara kawasan teruk terjejas terkena hujan abu dan hujan pasir akibat letusan yang menghasilkan awan panas abu volkanik, dikenali penduduk tempatan sebagai "Wedhus Gembel" itu adalah Kaliurang, Sleman.

Jarak penglihatan di kawasan sempadan Sleman dan Yogyakarta berkurangan sehingga kepada 50 meter akibat pergerakan lalu lintas menyebabkan abu volkanik di permukaan jalan berterbangan ke udara.

Di beberapa tempat, pihak berkuasa tempatan terpaksa menyembur air ke jalan raya bagi mengurangkan debu berterbangan ke udara dan memperbaiki kualiti jarak penglihatan serta udara.

Tiupan angin turut membawa abu dan pasir volkanik ke Yogyakarta, kira-kira 40km dari gunung itu menyebabkan sebahagian besar ibu kota lama Indonesia itu dilitupi abu putih dan warganya berebut membeli topeng muka sehingga beberapa farmasi dilaporkan kehabisan stok.

Keadaan itu turut memaksa pihak pengurusan Lapangan terbang Adisutjipto, Yogyakarta menutup lapangan terbang untuk beberapa ketika sejak pukul 6 pagi dan penerbangan dialih ke lapangan terbang Adisumarmo, Solo dan penumpang diangkut dengan bas dan teksi ke Yogyakarta.

Sehingga pukul 3.30 petang ini, kualiti udara di Yogyakarta kelihatan normal namun sekali-sekala hujan abu volkanik dan abu pasir volkanik dilihat turun.

Pihak berkuasa tempatan menganggap situasi di kota itu sehingga kini masih terkawal namun penduduk diminta mengutamakan kesihatan dengan memakai topeng muka bagi menghindari kesan abu volkanik itu.

Sungguhpun gunung berapi teraktif di dunia itu telah meletus beberapa kali sejak Selasa lalu, Pusat Mitigasi Bencana Geologi Indonesia percaya ia belum mengeluarkan tenaga letusan sepenuhnya.

Pemantuan yang dilakukan sehingga kini menunjukkan tenaga letusan Merapi kali ini sudah tiga kali ganda kekuatan letusan pada 2006, kata ketua badan itu Surono.

Letusan pada pukul 12.40 pagi ini turut menyebabkan penduduk di sekitar gunung itu menjadi panik apabila mendengar bunyi gemuruh gunung itu serta melihat awan panas yang tebal sehingga ramai daripada mereka melarikan diri menuju kota Yogyakarta.

Pihak berkuasa Indonesia terus berusaha memindahkan penduduk di kawasan lereng dan kaki gunung Merapi ke pusat pemindahan untuk memastikan keselamatan mereka.

Ia termasuklah pemindahan secara paksa apabila anggota komando tentera digunakan untuk memindahkan penduduk yang berkeras tinggal di rumah mereka di Sleman. - BERNAMA

Artikel Lain