suria

New York Times Dedah Pegawai Awam Pentagon Arahkan Pembentukan Pasukan Perisik Kontraktor Persendirian Di Afghan & Pakistan

WASHINGTON: Seorang pegawai kanan awam Jabatan Pertahanan Amerika didapati telah melanggari peraturan jabatannya dan menipu para pegawai tinggi ketenteraan apabila dia membentuk sebuah pasukan sulit yang terdiri daripada kontraktor persendirian untuk melakukan kerja-kerja pengintipan di Afghanistan dan Pakistan, demikian didedahkan oleh akhbar the New York Times, Jumaat.

Akhbar paling berpengaruh Amerika itu memetik sumber-sumber dalaman sebagai berkata, hasil siasatan dalaman mendapati, pegawai kanan itu yang bernama Michael Furlong, telah membentuk sepasukan unit pengintipan yang tidak mendapat restu Jabatan Pertahanan pada penghujung 2009 dan secara sengaja memesongkannya dari pengetahuan jeneral-jeneral tertinggi angkatan tentera.

Peraturan Jabatan Pertahanan Amerika yang lebih dikenali dengan nama Pentagon itu melarang penggunaan tenaga kerja persendirian sebagai agen kerajaan.

Bagaimanapun, beberapa maklumat yang disalurkan oleh rangkaian pengintip persendirian ini telah digunakan untuk melancarkan serangan ke atas kumpulan militan, lapor Times.

Menurut akhbar itu lagi, hasil siasatan Pentagon itu yang dijalankan atas arahan Setiausaha Pertahanan Amerika, Robert Gates telah diklasifikasikan sebagai 'sulit'.

Akhbar itu melaporkan, ketua inspektor Angkatan Udara pada masa yang sama turut menjalankan siasatan ke atas kes tersebut bagi memastikan sama ada Furlong telah melanggar sebarang peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pertahanan.

Rangkaian yang diwujudkan oleh Furlong terdiri daripada beberapa buah syarikat kecil termasuklah sebuah syarikat yang dikendalikan oleh bekas agen CIA yang pernah menggunakan khidmat agen di Afghanistan dan Pakistan untuk mengumpul data-data perisikan ke atas kumpulan militan.

Rangkaian ini berfungsi menggunakan bajet berjumlah AS$ 22 juta yang ditawarkan kepada Lockheed Martin.

Furlong bagaimanapun menegaskan, setiap projek di bawah pengendaliannya mendapat kelulusan daripada pihak atasan tentera di Afghanistan terlebih dahulu dan oleh itu tidak timbul sebarang isu kononnya dia telah memperdayakan pihak atasannya.- AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain