suria

Afghanistan Kagum Kesungguhan Malaysia Dalam Misi Kemanusiaan

BAMIAN: Kepakaran dan kesungguhan Malaysia melibatkan diri dalam misi bantuan kemanusian antarabangsa mendorong Afghanistan menjemput Malaysia dalam misi bantuan kesihatan di negara ini.

Gabenor Bamian Habiba Sarabi berkata aspek itu dikenalpasti kerajaan mereka selain faktor agama yang sama, kepakaran tenaga pegawai perubatan, kecanggihan teknologi perubatan, pembangunan modal insan dan sosio ekonomi yang baik.

"Kami sangat gembira melihat pasukan anda di Bamian dan kami akan memastikan anda semua mendapat kerjasama daripada rakyat kami," katanya kepada pemberita dan Tim Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (Malcon Isaf) di sini.

Beliau yang juga wanita pertama dilantik menjadi Gabenor di Afghanistan itu berkata dengan kedatangan Malaysia ke wilayah Bamian ini, diharap dapat membantu membina serta membangunkan semula negara ini khasnya dalam bidang kesihatan.

Habiba berkata Bamian dikenalpasti sebagai antara kawasan di dunia yang mempunyai kadar kematian sewaktu kelahiran paling tinggi selain penyakit bawaan yang boleh menyebabkan kematian seperti batuk kering, malaria, taun dan kolera.

Seramai 40 anggota Tim Perubatan ATM termasuk sembilan pegawai dan tujuh wanita akan berkhidmat di Bamian bagi misi memberikan rawatan pergigian, pemeriksaan kesihatan dan memberikan latihan kepada petugas tempatan.

Kumpulan itu berada di sini sebagai sebuah negara bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menerima jemputan Afghanistan bagi melaksanakan Operasi Interim Bantuan dan Sokongan Nasional (Op Insaf) ke negara itu.

Ia bagi menyumbang kepada pembinaan dan pembangunan semula Afghanistan dan penugasan Malcon Isaf ini adalah khusus kepada bantuan kemanusiaan.

Penugasan adalah menjurus kepada bidang perubatan yang kritikal meliputi khidmat kesihatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan selain membantu paramedik di kalangan warga tempatan seperti memberi latihan dalam pendidikan kesihatan, alam sekitar dan kesihatan umum.

Habiba berkata pihaknya sangat menghargai usaha murni kerajaan Malaysia yang sudi menerima jemputan mereka walaupun kawasan itu mempunyai pelbagai masalah seperti bekalan air bersih, tiada bekalan tetap tenaga elektrik, laluan darat yang berdebu dan berbatu serta kekurangan tenaga pakar dalam bidang sakit puan, sakit mata, pemakanan dan kesihatan umum.

"Kami mempunyai perancangan tersendiri untuk menjadikan kesihatan dan alam sekitar lebih baik daripada apa yang kami ada sekarang. Untuk makluman anda baru-baru ini Bamian diisytihar sebagai daerah yang cantik dan paling selamat di Afghanistan.

"Oleh itu, saya harap pasukan anda akan tinggal lebih lama di sini bagi membantu rakyat kami...kami memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang cuba melatih lebih ramai tenaga tempatan untuk bekerja sebagai doktor dan jururawat di klinik dan hospital di daerah ini bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pakar selain tenaga professional seperti jurutera.

Habiba berkata dengan adanya bantuan dari Malaysia, perancangan mereka dilihat mampu dilakukan walaupun memerlukan masa dan sumber kewangan yang tinggi daripada kerajaan.

Beliau turut berharap agar pelabur Malaysia sudi melibatkan diri dalam pelbagai bidang pembangunan di daerah ini seperti ekopelancongan dan makanan memandangkan Bamian terkenal sebagai 'potato land' dan antara kawasan ajaib di dunia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain