suria

Cuba Yakin Sokongan Majoriti Anggota PBB Menentang Sekatan

KUALA LUMPUR: Cuba yakin dapat meraih sokongan majoriti dari anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) termasuk Malaysia bagi resolusi menggesa Amerika Syarikat membatalkan sekatan perdagangan selama 49 tahun terhadap negara itu.

Duta Cuba ke Malaysia, Carlos A. Amores berkata buat tahun ke-19 berturut-turut Havana akan menbentangkan draf resolusi bertajuk 'Keperluan untuk menamatkan sekatan ekonomi, komersial dan kewangan' pada mesyuarat Perhimpunan Agung PBB, Selasa ini.

Amores berkata seperti banyak negara lain, Malaysia juga mengundi untuk menyokong resolusi tersebut mulai 1992.

Pada 1992, hanya 59 negara menyokong resolusi tersebut tetapi sokongan itu bertambah kepada 187 daripada 192 anggota PBB pada tahun lepas.

"Sekali lagi, Cuba mengharapkan sokongan daripada komuniti antarabangsa dalam tuntutan kami bagi menamatkan sekatan ekonomi, komersial dan kewangan yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, Jumaat.

Menurutnya sekatan itu merupakan halangan paling utama bagi pembangunan ekonomi Cuba dengan membawa akibat teruk antara lain kepada bidang kesihatan, pendidikan, makanan, kebudayaan, sukan, perdagangan dan pelaburan, perbankan dan bidang maklumat dan komunikasi.

Amores berkata akibat sekatan tersebut, negaranya telah mengalami kerugian ekonomi mencecah US$751 bilion (RM2.34 trilion) antara tahun 1961 dan 2009.

Dalam bidang kesihatan, katanya, hospital di Cuba tidak boleh menggunakan bahan radioaktif seperti iodin untuk pesakit yang menghadapi kogenital ketumbuhan dalam mata kerana mereka hanya boleh membeli bahan itu dari Amerika Syarikat. "Teknoloji ini kebanyakannya digunakan untuk merawat kanak-kanak yang menghadapi ketumbuhan tanpa menjejaskan penglihatan dan pilihan lain adalah untuk mengeluarkan biji mata daripada pesakit," katanya. "Sekatan itu mencabuli undang-undang antarabangsa, prinsip dan semangat Piagam PBB dan peraturan perdagangan ntarabangsa..ianya tindakan pencerobohan bersendirian dan ancaman kekal terhadap kestabilan sebuah negara lain," kata Amores.

Beliau menegaskan bahawa berdasarkan pungutan suara oleh beberapa kumpulan media antara April 2009 dan April 2010, terdapat penentangan yang tidak pernah berlaku dalam negara Amerika Syarikat di mana kajian itu menunjukkan majoriti rakyat Amerika bersetuju untuk mengadakan perjalanan ke Cuba, membatalkan sekatan itu dan memihak kepada hubungan dua hala dengan Cuba. "Presiden Barack Obama gagal menunaikan jangkaan yang dicetuskan terhadap Cuba semasa kempennya serta desakan dalam dan luar negara itu untuk mengubah dasar terhadap negara itu," katanya.

Tanpa keputusan Kongres, katanya, Obama mempunyai kuasa untuk membawa perubahan ketara dengan melonggarkan sekatan ke atas Cuba seperti memudahkan atau menghapuskan larangan menggunakan dolar Amerika Syarikat dalam transaksi antarabangsa Cuba. - BERNAMA

Artikel Lain