suria

Bekas Presiden Pakistan Meninggal Dunia

ISLAMABAD: Bekas Presiden Pakistan, Farooq Ahmad Khan Leghari telah diisytiharkan meninggal dunia di sebuah hospital di sini setelah sekian lama bertarung dengan sakit jantung. Beliau berusia 70 tahun.

Anak lelakinya, Jamal Leghari memberitahu, bapanya telah dimasukkan ke sebuah hospital tentera di Rawalpindi beberapa hari lalu tetapi keadaannya semakin teruk sejak semalam.

Leghari adalah salah seorang pengasas kepada parti pemerintah, Pakistan People's Party (PPP) dan berkhidmat sebagai ketua negara dari November 1993 sehingga Disember 1997.

Beliau merupakan presiden Pakistan yang kelapan sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1947.

Tindakannya yang paling kontroversi ialah apabila pada tahun 1996, beliau memecat kerajaan pimpinan PPP pimpinan Benazir Bhutto atas dakwaan rasuah sehingga menyebabkan Benazir terpaksa membawa diri ke London untuk seketika.

Bagaimanapun Benazir yang kembali ke Pakistan pada tahun 2007 dalam percubaannya untuk kembali ke tampuk kuasa telah terkorban dalam letupan bom di Rawalpindi ketika berkempen menjelang pilihan raya umum pada tahun berkenaan.

Leghari gagal menghabiskan tempoh penggal lima tahunnya sebagai presiden selepas meletakkan jawatan ekoran perselisihan faham dengan Nawaz Sharif yang ketika itu mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Benazir.

Hari ini, Nawaz adalah ketua pembangkang di Parlimen Pakistan.

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Di Davao

Artikel Berikut

Artikel Lain