suria

Cucu Raja Abdullah Saudi Dihukum Penjara Seumur Hidup

LONDON: Cucu kepada Raja Abdullah dari Arab Saudi telah dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun oleh sebuah mahkamah Britain di sini atas kesalahan mendera pembantu peribadinya sehingga mati dalam sebuah bilik hotel pada Februari lalu.

Saud Abdulaziz Nasir al Saud, 34, telah diarahkan oleh Hakim Mahkamah Jenayah di sini untuk menjalani hukuman penjara minimum 20 tahun itu setelah dia didapati bersalah dalam mendera pembantu lelakinya itu secara fizikal sehingga membawa maut.

"Adalah sesuatu yang tidak biasa untuk melihat seorang putera raja berdiri di dalam kandang orang bersalah tetapi tidak ada siapa yang lebih tinggi dari undang-undang di negara ini," kata Hakim David Bean ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah itu mendapati, Saud bersalah memukul, mendera dan mencekik Bandar Abdullah Abdulaziz sehingga mati pada 15 Februari lalu di dalam sebuah bilik hotel mewah di sini.

"Adalah salah untuk saya menjatuhkan hukuman sama ada ringan atau pun berat hanya semata-mata kerana anda adalah daripada keluarga diraja Arab Saudi sebaliknya hukuman terhadap anda haruslah berdasarkan fakta dan juga keadilan, kata hakim itu lagi.

Saud - yang mana ibunya adalah anak perempuan kepada Raja Arab Saudi sebelum ini cuba menggunakan kelebihan imuniti diplomatik untuk mengelak daripada ditahan selepas penemuan mayat pembantu lelakinya itu di dalam bilik sebuah hotel mewah iaitu Hotel Landmark.

Bagaimanapun Pejabat Kementerian Luar Britain mengesahkan yang dia tidak memiliki kelebihan itu.

Sepanjang perbicaraan selama dua minggu itu, mahkamah diberitahu Saud mengambil minuman keras yang banyak apabila dia menyerang dan membunuh pemuda berusia 32 tahun itu tanpa belas kasihan ketika mereka pulang semula ke hotel selepas meraikan sambutan Hari Kekasih sepanjang malam.

Mangsa yang juga merupakan seorang warga Saudi, telah ditinggalkan dalam keadaan cedera yang teruk termasuk kesan-kesan gigitan pada kedua-dua belah pipinya yang mendorong pihak pendakwa berkata terdapatnya elemen-elemen hubungan seks di dalam pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, peguam tertuduh berkata, dakwaan tersebut adalah keterlaluan malah tertuduh boleh dikenakan hukuman bunuh sekiranya dia dikatakan seorang homoseksual di Saudi Arabia.

Saud menafikan tindakannya itu adalah dengan niat untuk membunuh tetapi mengakui menyebabkan kematian kepada mangsa. Insiden dia memukul mangsanya itu turut dirakamkan oleh kamera CCTV yang dipasang di dalam lif hotel.

Putera itu bagaimanapun mengakui bahawa dia dan pembantu lelakinya itu adalah pasangan heteroseksual.

Bedah siasat mendapati, Abdulaziz mengalami kecederaan yang teruk pada otak, kepala, leher, telinga, muka dan juga gigi. Dia dikatakan tidak tahan dengan penderaan itu sehingga membiarkan Saud memukulnya sampai mati tanpa sedikit pun mencuba mempertahankan diri.

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Di Davao

Artikel Berikut

Artikel Lain