suria

Bilangan Pelajar Libya Di Malaysia Terus Meningkat

DUBAI: Bilangan pelajar Libya di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 1,000 orang kepada 3,500 menjelang penghujung 2010, menurut Pusat Pengajian Malaysia di Dubai. Pengarahnya, Shushilil Azam Shuib berkata Libya dianggap sebagai pasaran besar untuk pelajar sarjana dan PhD bagi institusi pengajian tinggi Malaysia.

"Kami merancang mewujudkan sebuah kiosk pendidikan di ibu negara Libya, Tripoli, dengan hasrat mengambil lebih ramai pelajar dari negara Afrika Utara ini," katanya.

Pegawai-pegawai pendidikan kini berada di Libya dengan Pusat Pengajian Malaysia menerajui penyertaan sekumpulan institusi pendidikan Malaysia di pameran pendidikan antarabangsa di Tripoli dari 11 hingga 13 Oktober.

Di luar acara itu, Shushilil Azam dan delegasinya mengadakan rundingan dengan wakil-wakil dari Yayasan Gaddafi mengenai kemungkinan menghantar pelajar tajaan yayasan itu ke Malaysia.

"Mereka berminat menghantar pelajar berkualiti untuk program sarjana dan PhD dalam bidang kejuruteraan, teknologi komunikasi maklumat, pengurusan dan pelancongan dan hospitaliti yang ditawarkan di universiti awam kita," katanya.

Menjelas lanjut mengenai kiosk pendidikan Malaysia yang dicadangkan di Libya, Shushilil Azam berkata ia akan dikendali dengan bantuan pelajar-pelajar Libya yang pernah belajar di Malaysia dan juga agen pengambilan pelajar.

Beliau berkata pendekatan di pasaran Libya itu boleh diperluaskan ke tempat-tempat lain seperti Sudan, Tebing Barat Palestin dan Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Iraq adalah sebuah lagi pasaran yang wajar dikaji, katanya.

Mengenai pameran pendidikan Libya, beliau berkata peserta Malaysia menerima hampir 300 pertanyaan serius di samping 20 pemohonan serta merta untuk belajar di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain