suria

Jemaah Haji Dinasihat Bijak Urus Masa Di Arafah

MEKAH: Jemaah haji Malaysia telah dinasihat supaya bijak mengurus masa semasa menggunakan kemudahan asas di Padang Arafah pada malam hari wukuf yang dijangka 15 November ini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata bilik air di padang Arafah adalah terhad yang akan dikongsi oleh kira-kira 26,000 jemaah Malaysia.

"Bilik air akan menjadi sesak. Masalah ini adalah biasa. Jadi eloklah bijak mengurus masa untuk menggunakannya," kata beliau kepada pasukan media Tabung Haji (TH)di sini, Isnin.

Semalam, Syed Saleh bersama 15 pengurus Maktab meninjau Padang Arafah, tempat jemaah Malaysia akan ditempatkan untuk bermalam di Muzdalifah dan tempat melontar jamrah di Mina.

Beliau yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Kewangan Korporat & Perkhidmatan TH berkata pihak muassasah akan membantu TH memantau pergerakan jemaah agar lebih lancar serta memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka.

Menurut Syed Saleh, jemaah Malaysia akan dibawa dengan bas ke Arafah selepas waktu Zohor pada 8 Zulhijjah.

"Saya juga ingin mengingatkan jemaah supaya membawa pakaian cukup untuk kegunaan selama berada di Arafah dan Mina. Jangan bawa terlalu banyak sehingga membebankan," katanya.

Di Arafah semua jemaah Malaysia termasuk yang datang secara pakej atau diuruskan oleh syarikat swasta ditempatkan di khemah yang dibahagikan kepada 15 maktab, katanya.

Pengarah Operasi TH Mekah, Zakaria Yet berkata seramai 700 petugas perubatan akan ditugaskan di Arafah, Muzdalifah dan Mina mulai hari wukuf dan sehingga selesai melontar jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. -BERNAMA

Artikel Lain