suria

Lebih Banyak Pos Kawalan Keselamatan Akan Dibina Di Sempadan Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang menambah bilangan pos kawalan keselamatan di lokasi strategik di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi membanteras kes penyeludupan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata kini terdapat 16 pos kawalan di sepanjang Sungai Golok iaitu sempadan Kelantan-Selatan Thailand, bermula dari Rantau Panjang di sebelah timur sempadan sehingga ke Kuala Jambu, Tumpat di sebelah barat sempadan itu.

"Ia bertujuan membuat kawalan keselamatan dan pencegahan aktiviti penyeludupun barang-barang terlarang dan penyeludupan manusia," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata selain petugas di kesemua pos kawalan itu, sebanyak 201 anggota keselamatan lain terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis, Jabatan Imigresen, Kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta Unit Pencegahan Penyeludupan turut ditempatkan di tiga kompleks Kastam,Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kelantan.

Tiga CIQ Kelantan itu terletak di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung penguatkuasaan langkah keselamatan di pintu masuk negara di Sungai Golok.

Abu Seman berkata jumlah anggota yang bertugas itu adalah mencukupi bagi mengawasi kawasan itu.

Menurutnya selain Kelantan terdapat lima CIQ bersempadan dengan Thailand iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah; dan Pengkalan Hulu di Perak.

Beliau berkata pihak berkuasa dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa mempertingkatkan penguatkuasaan dan risikan di kawasan sempadan dan kehadiran mereka diyakini dapat menjamin keselamatan negara. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain