suria

Demonstrasi Di Jakarta Kerana Tidak Puas Hati Pentadbiran Presiden SBY

JAKARTA: Ribuan penunjuk perasaan berdemonstrasi di depan Istana Negara Jakarta sempena genapnya setahun pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi penggal kedua ini.

Beberapa ketika, keadaan menjadi kecoh apabila mereka enggan mematuhi arahan polis untuk menjaga ketertiban semasa beraksi, sehingga memaksa polis melepaskan sekurang-kurangnya lapan tembakan amaran bagi menenangkan keadaan di hadapan Istana Negara.

Sementara itu, demonstrasi pelajar di Jalan Diponegoro, Menteng turut menjadi kecoh apabila mereka mula melempar batu ke arah polis dan membakar tayar terpakai yang berakhir dengan seorang pelajar cedera tertembak di bahagian kakinya.

Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) turut berdemonstrasi di hadapan bangunan pejabat mereka juga di Jalan Diponegoro.

Penunjuk perasaan itu mewakili beberapa kumpulan termasuk mahasiswa, aktivis hak asasi manusia serta ahli akademik.

Pada umumnya penunjuk perasaan menyuarakan tuntutan supaya dinilai prestasi kerja kerajaan, terutamanya Susilo sendiri yang telah memimpin Indonesia selama enam tahun kebelakangan ini.

Pergerakan Mahasiswa Islam Indonesia dengan lantang meminta Presiden Susilo turun daripada jawatannya kerana beliau dinilai telah membuat rakyat menjadi makin sengsara.

Mereka membakar bendera dan kemeja-T Partai Demokrat, parti politik yang didirikan Susilo dan kini menguasai Parlimen Indonesia.

"Api unggun ini merupakan simbol kemarahan rakyat Indonesia yang sudah marah dengan kepemimpinan SBY. Jangan pernah menzalimi rakyat lagi, turunkan SBY," kata Diko, salah seorang pemidato ketika pembakaran itu dilakukan.

Persatuan itu juga menuntut agar kerajaan menyelesaikan kes rasuah besar bernilai beberapa triliun rupiah seperti kes penyelamatan Bank Century yang dipercayai melibatkan naib presiden Boediono dan bekas Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati.

Sementara itu Jaringan Solidaritas Korban untuk Keadilan (JSSK) menuntut penyelesaian kes-kes Hak Asasi Manusia seperti kes orang hilang pada demonstrasi besar penurunan Presiden Soeharto tahun 1998, bencana lumpur Lapindo dan kes kematian aktivis hak asasi manusia, Munir.

Mereka melakukan teatrikal dan pameran foto sebahagian kecil mangsa terbabit daripada sekurang-kurangnya sembilan peristiwa di seluruh Indonesia.

Koordinator JSSK, Suciwati berkata pelanggaran itu dilakukan secara sistematik oleh kerajaan.

"Semua kes itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak mau dikritik dan ingin terus berkuasa," kata Suciwati, yang juga isteri Munir.

Sementara itu Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia (GMNI) Universitas Islam Indonesia Jakarta mengkritik dasar kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Kedaulatan bangsa telah dipermalukan oleh bangsa lain terutama kes perbatasan antara Indonesia dan Malaysia menunjukkan sikap yang sangat tidak tegas dari SBY," katanya.

Penunjuk perasaan telah datang sejak pukul 10 pagi secara berperingkat namun polis sudah bersiap sedia dengan ramai anggota untuk mengawal keadaan, lengkap dengan kenderaan meriam air dan kawat berduri bagi menghalang mereka daripada masuk kawasan istana.

Beberapa kali insiden tolak menolak antara polis dan penunjuk perasaan apabila mereka cuba menghampiri kawat berduri, namun suasana kembali terkawal.

Demonstrasi serupa turut diadakan di beberapa kota lain di Indonesia.

Jurucakap presiden, Julian Aldrin Pasha berkata Presiden telah mengetahui rancangan demonstrasi pada hari ini dan meminta pihak berkuasa menjaga keamanan.

Sebelum ini, Presiden mengingatkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika demonstrasi mengarah kepada perbuatan jenayah dalam usaha menjatuhkannya daripada kuasa.

Ketua bahagian perhubungan awam Polis Indonesia Inspektor Jeneral Iskandar Hasan berkata polis berhak mengambil tindakan tegas termasuk menembak ke arah penunjuk perasaan dalam usaha mengawal keselamatan Istana Negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Di Davao

Artikel Berikut

Artikel Lain