suria

Insiden Pengeboman Cetus Kebimbangan Awam

BANGKOK: Serangan bom di sebuah perhentian bas di kawasan beli belah di sini pada Ahad yang mengorbankan seorang awam dan mencederakan lapan yang lain mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai.

Ini bukan lagi pertempuran antara askar dengan penunjuk perasaan tetapi sudah melibatkan orang ramai di tempat awam.

Orang awam tidak pernah menjadi sasaran sebelum ini, sekalipun semasa demonstrasi jalanan selama dua bulan yang berakhir pada 19 Mei, di mana pertempuran mereka yang melibatkan tindakan menembak dan mengebom menjadikan bandaraya ini sebagai zon perang.

Beberapa orang awam termasuk wartawan, jurugambar dan sukarelawan kesihatan terbunuh atau tercedera semasa pertempuran itu, tetapi belum dapat dipastikan sama ada mereka terperangkap dalam tembak menembak atau memang menjadi sasaran memandangkan siasatan masih dijalankan.

Sejumlah 90 orang termasuk 79 orang awam kebanyakan penunjuk perasaan dan 11 pegawai keselamatan mati dalam pertempuran sengit, kejadian pengeboman dan tembak menembak semasa demonstrasi berkenaan.

Berpuluh-puluh pejabat kerajaan dan bank komersial menjadi sasaran bom semasa kegelisahan itu dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sebutir bom yang tersembunyi dalam sebuah tong sampah di sebuah perhentian bas depan Big C supermarket, berhadapan kompleks beli belah Central World yang diletupkan dengan alat jangka masa semasa demonstrasi itu, pada petang petang hari Ahad.

Serangan maut ini pastinya menjejas imej negara pada kaca mata pelancong dan pelabur ketika Thailand berusaha memulihkan keyakinan dan ekonominya selepas tamatnya demonstrasi jalanan.

"Pada mulanya, ini akan menjejas imej Thailand. Masyarakat mesti mengutuk siapa yang melakukan ini," kata Perdana Menteri Abhisit Vejjajeva pada Selasa.

Beliau percaya serangan Ahad itu bertujuan mencetuskan konflik di kalangan rakyat oleh kerana satu pihak akan menyalah pihak lain.

Pembangkang menyalahkan penyokong kerajaan kerana serangan itu dan menyatakan ia dirancang bagi mewajarkan perlanjutan perintah darurat yang dikenakan ke atas bandaraya itu sekarang.

Bekas perdana menteri Anand Panyarachun menyertai komuniti perniagaan, pengusaha industri pelancongan dan organisasi bukan kerajaan yang menggesa supaya ditamatkan perintah darurat di Bangkok dan 15 wilayah lain ketika ini. Namun, Abhisit menegaskan laporan perisikan tidak menjangka serangan Ahad itu walaupun kerajaan sedar serangan boleh berlaku pada bila-bila masa dalam tempoh darurat oleh kerana terdapat laporan mengenai kegiatan bawah tanah.

"Kita tidak tahu bila dan di mana serangan akan berlaku," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain