suria

Thailand Batal Perintah Darurat Di Enam Wilayah

BANGKOK: Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva hari ini membatalkan perintah darurat yang dikenakan di enam wilayah, kecuali 10 wilayah termasuk Bangkok yang masih berada di bawah perintah darurat.

Enam wilayah itu ialah Ayutthaya (pusat), Chonburi (timur), Nongbualamphu, Mukdaharn dan Chaiyaphum (semuanya di timur laut). Pembatalan perintah darurat di enam wilayah itu dibuat berikutan keadaan keselamatan yang semakin baik dengan polis dapat mengawal undang-undang dan ketenteraman di kawasan berkenaan.

Selain Bangkok, perintah darurat masih dikuatkuasakan di Nonthaburi, Pathum Thani, Chiangmai, Chiangrai, Ubon Ratchathani, Udon Thani, Nakhon Ratchasima, Khon Kaen dan Smut Prakan pada masa ini.

Perintah darurat itu diisytiharkan di Bangkok pada 7 April dan dilanjutkan ke 23 wilayah yang lain berikutan beberapa siri demonstrasi anti kerajaan dan rusuhan.

Ia dibatalkan berperingkat-peringkat dan perintah darurat di 10 wilayah itu dilanjutkan sehingga 6 Julai untuk tiga bulan lagi sehingga awal Oktober.

Serangan bom Ahad lepas di sebuah hentian bas di depan sebuah pasar raya di pusat bandar menyebabkan seorang awam terbunuh dan mencederakan 10 yang lain telah menghancurkan harapan bagi pembatalan perintah itu di ibu negara ini.

Banyak gesaan daripada badan bukan kerajaan, pembangkang, masyarakat peniaga dan penggiat industri pelancongan bagi membatalkan perintah darurat yang didakwa mereka telah menghalang pertumbuhan ekonomi dan pelancongan selain menjejaskan pelan keamanan kerajaan.

Keadaan kembali seperti biasa, kecuali insiden pengeboman Ahad lalu, di negara ini dengan pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, bank, perniagaan dan pengangkutan awam berjalan seperti biasa.

Pemandangan tentera bersenjata yang mengawal di setiap sudut jalan sudah tidak kelihatan awalaupun 10 wilayah termasuk Bangkok masih di bawah perintah darurat pada masa ini.

Di kemuncak perintah darurat, perintah berkurung dikenakan sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain