suria

Isu Korea: Tiada Kenyataan Tegas Dari Asean

HANOI: Tiada kenyataan yang tegas dari Asean mengenai isu Semenanjung Korea pada masa ini kerana kumpulan itu tidak mahu ketegangan yang wujud di situ terus meningkat.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Korea Selatan semasa mesyuarat peringkat Menteri Asean+3 di sini, Rabu, mahu Asean mengeluarkan kenyataan yang tegas berhubung isu itu.

"Asean tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang tegas kerana ia tidak mahu ia terus meningkatkan ketegangan di sana," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat antara Asean dan tiga rakannya iaitu Jepun, China dan Korea Selatan di National Convention Centre, di sini.

Ketegangan antara Korea Selatan dan Utara meningkat berikutan kapal perangnya Cheonan yang tenggelam dibedil torpedo kapal selam Korea Utara berdekatan sempadan Laut Kuning Mac lepas.

Korea Utara menafikan sebarang pembabitan dalam insiden itu yang mengorbankan 46 nyawa. Latihan ketenteraan besar-besaran antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan di Laut Jepun Ahad ini telah menimbulkan kemarahan Korea Utara kerana ia menghantar amaran dan isyarat kuat berhubung dakwaan tindakan bersifat provokatif.

Anifah berkata mesyuarat itu kesal dengan insiden tenggelamnya kapal Cheonan dan meningkatnya ketegangan di Semenanjung Korea.

Mesyuarat itu, katanya, menyokong kenyataan Majlis Keselamatan agar semua pihak berkaitan melaksanakan usaha mengekang dan menyelesaikan pertikaian melalui usaha damai.

Katanya mesyuarat itu juga menegaskan semula sokongan bagi semenanjung yang bebas dari senjata nuklear dan menggalakkan semua pihak terlibat untuk menyambung semula Perbincangan Enam Pihak secepat mungkin.

Sebagai tambahan, mesyuarat itu juga menyambut baik kesediaan Asean untuk menyumbang kepada Forum Serantau Asean (ARF), katanya. "ARF akan diadakan di sini Jumaat ini dan kenyataannya bahawa Menteri Luar Korea Utara Pak Ui-Chun akan menghandiri mesyuarat itu merupakan satu petanda baik (dalam menangani isu Semenanjung Korea), katanya.

Sebenarnya, semua anggota Perbincangan Enam Pihak - Korea Utara, Korea Selatan, China, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat juga akan menghadiri ARF, forum keselamatan serantau yang membabitkan 27 negara.

Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton dijadual menghadiri mesyuarat itu. Beliau kini sedang melawat Korea Selatan.

Perbincangan Enam Pihak itu bertujuan untuk mencari penyelesaian damai kepada kebimbangan keselamatan berikutan program senjata nuklear Korea Utara tetapi perbincangan tertangguh sejak tahun lepas selepas mesyuarat tidak mencapai kata sepakat.

"Ia kini terpulang kepada mereka bagi menyambung semula dengan perbincangan memandangkan kesemua mereka akan berada di sini tapi saya tidak fikir mereka akan menggunakan forum ini (ARF bagi menyambung semula perbincangan)," katanya. Mengenai Perundingan Tidak Rasmi Menteri-menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), beliau berkata Malaysia mencadangkan supaya EAS mengkaji semula bidang keutamaan yang ada bagi memasukkan pembangunan dan lain-lain isu yang menjadi perhatian bersama seperti simpanan makanan, perubahan iklim dan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.

Malaysia, katanya, mengulangi kenyataan bahawa lebih banyak pusat-pusat kecemerlangan pendidikan diwujudkan di setiap negara EAS bagi meningkatkan kualiti pendidikan di rantau ini.

Katanya Malaysia menggalakkan universiti terkemuka di dalam negara yang mengambil bahagian dalam EAS untuk menubuhkan rangkaian yang serupa kepada Universiti Asean.

Malaysia juga mencadangkan bahawa satu program biasiswa EAS yang serupa dengan program biasiswa Asean yang ketika ini ditawarkan kepada pelajar Asean yang berbakat dan mempunyai kebolehan istimewa, ditubuhkan, katanya.

Menteri-menteri Luar Asean juga akan mengadakan siri perjumpaan dengan rakan mereka dari Australia, Jepun, China, New Zealand, Kanada, India, Kesatuan Eropah, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat esok. - BERNAMA

Artikel Lain