suria

46 Maut Serangan Berani Mati di Iraq

BAGHDAD: Serangan pengebom berani mati mengorbankan 46 orang di Iraq, Ahad dalam dua serangan berasingan yang mensasarkan tentera militia anti-Qaeda, sekali gus merupakan serangan paling kejam dalam tempoh dua bulan.

Berhampiran barat Baghdad, seorang pengebom meletupkan dirinya sendiri apabila pejuang anti-Qaeda sedang berkumpul di pejabat tentera untuk mendapatkan gaji masing-masing, menurut sumber kementerian pertahanan.

Al-Balassim, sebahagian daerah Radwaniyah, merupakan bekas markas pemberontak iaitu 25 kilometer dari ibu negara Iraq tersebut.

Berhampiran sempadan Syria, pengebom kedua menyerang pejabat militia anti-Qaeda di Al-Qaim, membunuh tiga mangsa dan mengakibatkan enam lagi cedera, kata polis.

Ramai antara yang terkorban terdiri daripada pejuang Sahwa, anggota militia Sunni Arab, juga dikenali sebagai Sons of Iraq, dengan bantuan Amerika Syarikat (AS) menentang Al-Qaeda, pada hujung 2006.

Kumpulan terbabit, yang direkrut dari kalangan anggota puak dan bekas pemberontak, diberi penghargaan kerana mengubah suasana peperangan terhadap Al-Qaeda di Iraq.

Kawalan ke atas Sahwa diserahkan kepada Iraq pada Oktober 2008 dan upah mereka - dikatakan berkurangan dari USD 300 di bawah pentadbiran AS kepada USD 100 - sering dibayar lewat oleh kerajaan pimpinan Syiah.

Baghdad telah berjanji menggabungkan 20 peratus Sahwa ke dalam polis dan tentera serta membuka peluang pekerjaan perkhidmatan awam untuk ramai yang lain, tetapi proses berkenaan terlalu lambat dan penuh risiko.

Sejak enam bulan lalu, ramai pejuang Sahwa dan ahli keluarga mereka dibunuh dalam siri serangan balas.

Bekas pemberontak dan ahli puak bimbang bahawa mereka bukan sahaja dijadikan sasaran Al-Qaeda malah dicurigai oleh kerajaan pusat Syiah.

Serangan Ahad itu merupakan yang paling kejam melanda Iraq sejak 10 Mei lalu, apabila tiga buah kereta dibom di sebuah kilang di Hilla, selatan Baghdad diikuti yang keempat, mensasarkan pekerja bantuan kecemasan, membunuh 53 orang.

Pegawai AS dan Iraq mengeluarkan amaran berlakunya keganasan sekiranya perundingan membentuk kerajaan campuran terus ditangguh, memberikan kumpulan pemberontak peluang untuk terus menjejaskan kestabilan negara.

Lebih empat bulan selepas pilihan raya umum pada 7 Mac yang langsung tidak memberi sebarang blok majoriti parlimen secara keseluruhan, dua senarai yang memenangi kebanyakan kerusi masih belum mencapai keputusan siapa harus menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Bekas Perdana Menteri, Iyad Allawi dan penyandang, Nuri al-Maliki masing-masing berkeras bahawa mereka merupakan calon terbaik untuk menangani negara bergolak dan perkhidmatan awam yang terjejas teruk.

Pada masa ini terdapat 74,000 tentera AS di Iraq bagaimanapun jumlah itu akan berkurangan kepada 50,000 menjelang 31 Ogos ini apabila pasukan tentera berundur perlahan-lahan, meninggalkan pasukan tersebut yang dijangka berundur sepenuhnya menjelang Disember 2011.

Artikel Lain