suria

Malaysia dan Negara Asia Timur Perlu Tingkatkan Ekonomi Elak Kemeseletan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dan negara-negara di Asia Timur tidak begitu terjejas ekoran kemelesetan ekonomi di Eropah dan Amerika jika mereka bekerjasama bagi merancakkan ekonomi, kata Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin.

"Mengenai jangkaan kemelesetan kedua, ia tidak begitu teruk kerana semua negara akan bekerjasama untuk mengatasi keadaan itu," kata Mahani kepada pemberita pada seminar Model Baru Ekonomi: Tinjauan daripada Perspektif Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, pada Selasa.

Jika ia (kemelesetan) berlaku, mungkin pertumbuhan ekonomi dunia, termasuk Asia, akan terjejas memandangkan Eropah dan Amerika merupakan pasaran utama Malaysia.

Oleh itu, beliau berkata negara membangun di Asia Timur seperti China, India dan Korea, mesti menggerakkan ekonomi mereka bagi menangani masalah ekonomi yang mungkin melanda.

Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa Malaysia berkemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi berganda sekiranya kemelesetan itu berlaku di Eropah.

Beliau yang baru pulang dari lawatan ke England, berkata sudah ada tanda-tanda kemelesetan ekonomi berganda berlaku di Eropah, dan ia secara tidak langsung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara.

Menurut Mahani, kerajaan juga perlu mengkaji usaha untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan dengan mengecilkan defisit.

Bagaimanapun, jika keadaan di luar menggugat, mungkin kerajaan terpaksa terus berbelanja bagi memastikan ekonomi dalaman dapat terus berkembang.

Kerajaan juga perlu mewujudkan peluang-peluang pelaburan dengan mengenal pasti industri baharu yang perlu diutamakan dan dipromosikan bagi meningkatkan ekonomi dalam negara.

Beliau berkata satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi ialah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan, dengan memberi tumpuan terhadap 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA, yang berpotensi menjana pendapatan tinggi.

Antara sektor yang berpotensi yang boleh diberi tumpuan ialah pelancongan, minyak dan gas, minyak sawit dan produk berkaitan serta Greater Kuala Lumpur.

"Di Malaysia masih banyak sumber kewangan yang belum dilaburkan, mungkin kerana mereka kurang yakin terhadap suasana ekonomi," kata Mahani.

Menurutnya negara masih mempuyai peluang untuk menggalakkan pelaburan daripada sumber Malaysia sendiri atau projek daripada sumber asing. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain