suria

Afghanistan Contohi Malaysia Dalam Usaha Pembangunan Wanita

KUANTAN: Kementerian Hal Ehwal Wanita Afghanistan melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh dalam usaha membangunkan wanita di negara yang hancur akibat peperangan itu.

Seramai 13 pegawai kanan negara itu diketuai Timbalan Menteri kementerian berkenaan, Palwasha Kakar yang mengadakan lawatan selama lapan hari di Malaysia bermula 5 Julai lepas bukan hanya kagum dengan penyertaan wanita Malaysia di sektor pekerjaan, malah terkejut apabila dimaklumkan bahawa pelajar wanita menguasai tempat di institusi pengajian tinggi awam di negara ini.

Palwasha berkata, pihaknya berminat untuk berkongsi pengalaman Malaysia bagi meningkatkan keupayaan kementerian itu sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan serta pembangunan masyarakat khususnya wanita di negara tersebut.

Beliau berkata ia juga seiring dengan peranan golongan wanita Afghanistan yang semakin diterima dalam sosio ekonomi negara itu.

"Kami kini mempunyai tiga menteri wanita, ahli perniagaan wanita dan polis wanita yang mana ia merupakan pencapaian yang baik untuk perjuangan mendapatkan kesamaan antara jantina di Afghanistan," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan di Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) di sini, pada Sabtu.

Turut serta ialah Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (IMPUMA) Universiti Malaya, Prof Madya Dr Khadijah Md Khalid dan Naib Presiden Akademik IKIP, Airulamri Amran.

Katanya usaha pembangunan wanita di Malaysia melalui latihan kemahiran dan vokasional mencakupi pelbagai bidang dilihat dapat diikuti negara itu sebagai salah satu usaha meningkatkan keupayaan wanita Afghanistan.

"Wanita yang mempunyai kemahiran akan mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada keluarga dan negara," katanya.

Selain itu, pihaknya juga berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan yang merupakan teras kepada kelangsungan pembangunan wanita di negara berkenaan.

Selain IKIP, delegasi itu juga dijadual melawat Pusat Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) dan menemui Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) cawangan Pahang sebelum berangkat pulang pada Selasa ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain