suria

Sidang Kemuncak D-8 Sedarkan Pemimpin Mengenai Pencapaian Perkumpulan Itu

ABUJA (NIGERIA): Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Sidang Kemuncak Ketujuh Kumpulan Lapan Negara-negara Islam Membangun (D-8) yang berakhir semalam boleh dianggap berjaya kerana ia menyedarkan para perwakilan mengenai pencapaian pertubuhan berkenaan selama ini.

"Sebagaimana disebutkan dalam persidangan, sudah sekian lama perbincangan di adakan di peringkat D-8 namun hasil yang konkrit masih belum dilihat," katanya dalam satu persidangan media di sini.

Katanya persidangan di Abuja ini dianggap penting untuk melihat satu kemajuan yang menggalakkan bagi memastikan kerjasama ekonomi antara negara-negara anggota dapat menghasilkan faedah untuk mereka.

D-8 yang ditubuhkan pada 1997 dianggotai oleh Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Mesir, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Muhyiddin berkata berdasarkan perbincangan di semua peringkat pada sidang kemuncak kali ini, beliau melihat ada kesungguhan dari kalangan peserta untuk memastikan D-8 maju kehadapan walaupun pada masa yang sama negara-negera tertentu mempunyai agenda sendiri yang mereka perlu uruskan.

"Namun ini (D-8) adalah satu organisasi negara-negara Islam, kita hendak kerjasama ini adalah sesuatu yang menguntungkan, yang diharapkan di bawah kepimpinan Nigeria," katanya.

Pada persidangan semalam Malaysia yang merupakan Pengerusi D-8 sejak 2008 menyerahkan jawatan Pengerusi Pertubuhan itu kepada Nigeria.

Malaysia pada persidangan ini mencadangkan supaya D-8 mengenal pasti syarikat-syarikat yang berminat dengan projek-projek bekalan makanan dan keselamatan makanan supaya projek-projek khusus seperti bank benih dan pembuatan baja dapat diteruskan, kerana semua anggota D-8 tahu mengenai kepentingan sektor pertanian dalam ekonomi mereka.

Muhyiddin berkata D-8 turut memeterai satu perjanjian bagi memudahkan mengeluaran visa kepada golongan peniaga di kalangan negara-negara anggota, dan Malaysia yang meraktifikasikan perjanjian itu berharap negara-negara anggota akan mengambil langkah untuk memudahkan proses ini di negara masing-masing.

"Ini kerana masih ada negara yang belum meraktifikasikan perjanjian yang sebelum ini sudah dipersetujui bersama, dan saya harap perkara ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi memudahkan golongan peniaga dan usahawan," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga sedang meneliti beberapa perjanjian lagi untuk diratifikasikan, dan menurutnya beliau tidak melihat sebarang masalah untuk menjayakannya kerana semua perjanjian itu adalah sebahagian daripada deklarasi-deklarasi lebih awal.

Mengenai halatuju D-8 di bawah pimpinan Nigeria untuk dua tahun akan datang, Muhyiddin berkata Nigeria dan Sekretariat D-8 mempunyai tugas yang besar untuk menjadikan D-8 sebagai sebuah pertubuhan yang lebih berjaya.

Beliau juga berkata tidak semestinya pertindihan matlamat antara negara-negara anggota yang menganggotai pertubuhan lain di peringkat antarabangsa menyebabkan D-8 lembab di dalam tindakan mereka.

Katanya ini adalah kerana banyak manfaat yang boleh dinikmati oleh negara anggota kerana D-8 mempunyai pasaran yang besar melibatkan 980 juta orang dan rata-rata negara anggotanya adalah kaya dengan hasil bumi, dan memerlukan pembangunan serta prasarana yang boleh diterokai oleh pihak swasta daripada negara-negara anggota sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain